SHEIKH Ezaiddin berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan sistem Ejen2u akan diguna pakai syarikat di Indonesia menjelang akhir tahun depan.
SHEIKH Ezaiddin berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan sistem Ejen2u akan diguna pakai syarikat di Indonesia menjelang akhir tahun depan.
Sri Ayu Kartika Amri

PENYEDIA platform digital pengurusan, Ejen2u International Sdn Bhd (Ejen2u), komited menembusi pasaran Asia Tenggara menerusi sistem pengurusan ejennya, Ejen2u dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sheikh Ezaiddin berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan sistem Ejen2u akan diguna pakai syarikat di Indonesia menjelang akhir tahun depan.

Katanya, keunikan Ejen2u yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat Bumiputera itu bukan sahaja memperkasa ekonomi informal, malah membantu pengasas perniagaan melonjakkan perniagaan mereka sehingga 20 kali ganda (berdasarkan kajian kes sebenar).

"Platform digital pengurusan Ejen2u ini komprehensif dengan pelbagai fungsi antaranya kemudahan rekrut ejen baharu, pendaftaran, inventori dan jualan serta kiraan komisen.

"Selain itu, platform ini berbeza berbanding sistem lain di pasaran kerana Ejen2u boleh diguna pakai untuk berbilang lapisan ejen (stokis, ejen, dropship dan sebagainya).

"Buat masa ini lebih 200 syarikat tempatan menggunakan Ejen2u dan kami menyasarkan 800 syarikat tahun depan terutama dalam bidang kecantikan, kesihatan, makanan dan minuman, kelengkapan isi rumah serta pendidikan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Ejen2u memudahkan pengasas dan ejen bagi membantu mendigitalkan perniagaan mereka, sekali gus meningkatkan aktiviti perniagaan.

Beliau berkata, lebih membanggakan, ada syarikat yang menggunakan Ejen2u mampu mencapai jualan RM2.5 juta sebulan berbanding RM200,000 sebelum ini.

"Selain itu, melalui Ejen2u, ejen ini semua boleh memohon kemudahan pinjaman di bank serta memperoleh perlindungan pendapatan hampir sama dengan Perkeso dan untuk maklumat lanjut boleh melayari www.ejen2u.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 7:20 AM