IDHAM
IDHAM

CELCOM Axiata Bhd (Celcom) memeterai perjanjian akses dengan Allo Technology Sdn Bhd (Allo) bagi meningkatkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan konvergen di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua pihak memperluas perkhidmatan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) ke lebih banyak kawasan di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, Celcom juga bakal memperluas liputan perkhidmatan Celcom Home Fibre kepada lebih banyak isi rumah melalui infrastruktur rangkaian HSBB dan kepakaran yang disediakan oleh Allo.

Katanya, langkah itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan bagi jalinan kerjasama antara peserta industri dalam menyediakan kesalinghubungan Internet berkelajuan tinggi di seluruh negara.

Ia juga akan mengukuhkan komitmen Celcom yang berterusan dalam penyediaan Internet berkelajuan tinggi kepada lebih ramai rakyat khususnya dalam tempoh yang mencabar ketika ini.

Katanya, Covid-19 merubah corak penggunaan dan meningkatkan penggunaan data serta permintaan bagi Internet yang lebih berkualiti.

Perkhidmatan konvergen jalur lebar katanya, terus berevolusi menjadi pemangkin utama dalam ekonomi, serta memberi faedah dalam kehidupan melalui pembelajaran atas talian, bekerja dari rumah dan lain-lain.

"Perjanjian ini juga kesinambungan dalam perjalanan kesalinganhubungan konvergen yang disediakan kumpulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 7:20 AM