BURUNG kakak tua jenis Eclectus dipelihara  Muhammad Mustafa mampu bersiul dan mengajuk kata-kata pemiliknya.
BURUNG kakak tua jenis Eclectus dipelihara Muhammad Mustafa mampu bersiul dan mengajuk kata-kata pemiliknya.
Muhamaad Razis Ismail


'ASSALAMUALAIKUM' dan 'Hello' antara perkataan yang boleh disebut burung kakak tua yang dipelihara Muhammad Mustafa Abdul Salam, 53, sejak sembilan bulan lalu.

Burung kakak tua jenis Eclectus yang ditempatkan di ruang tamu rumah itu juga mampu bersiul dan mengajuk kata-kata pemiliknya.

Selain itu, burung yang dinamakan sebagai Bella ini turut diberi kebebasan untuk terbang di dalam rumah.

Apabila dibiarkan bersendirian, Bella akan mula membebel dengan meniru perkataan yang didengarnya.

Muhammad Mustafa berkata, burung itu dibeli daripada seorang individu yang ingin menjualnya kerana kesibukan kerja.

Katanya, proses untuk mendapatkannya tidak mudah kerana pemiliknya mahukan pemilik baharu dapat menjaga haiwan itu dengan baik.

"Sebenarnya saya sudah lama menyimpan cita-cita untuk memelihara burung kakak tua yang jinak, manja dan boleh bercakap.

"Pada mulanya saya ingin beli yang bersaiz besar, namun ruang rumah yang terhad dan suaranya yang sangat kuat, saya pilih saiz sederhana.

BELLA sangat menggemari kuaci.
BELLA sangat menggemari kuaci.

"Alhamdulillah, pada Julai tahun lalu, pemiliknya bersetuju menjual Bella yang pada ketika itu berusia enam bulan kepada saya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, untuk memelihara burung ini, perlu memiliki lesen yang dikeluarkan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang, jika tiada lesen yang perlu diperbaharui setiap tahun," katanya.

Tambahnya, penjagaan burung ini tidak rumit namun perlu konsisten untuk memastikan ia sentiasa sihat.

"Saya sediakan sangkar yang bersesuaian dan akan membersih (sangkar) daripada najis serta sisa makanan pada setiap minggu untuk elakkannya terkena penyakit.

"Untuk minuman, saya berikan air bertapis dan untuk makanan, saya berikan palet khas untuk burung kakak tua, bijirin, kuaci, buah dan sayur segar sebanyak dua kali sehari," katanya.

Jelasnya setiap hari, beliau akan memperuntukkan sekurang-kurangnya sejam untuk bermain dengan burung kakak tuanya.

BELLA menjadi pengubat rindu kepada anak-anak.
BELLA menjadi pengubat rindu kepada anak-anak.

"Biasanya ketika berehat di ruang tamu, saya akan panggil namanya sebelum ia terbang, hinggap di tangan. Kemudian saya akan usap kepala dan mula bercakap dengannya.

"Interaksi seperti ini penting untuk membina hubungan lebih akrab dengan Bella," katanya.

Beliau berkata, kehadiran Bella di dalam keluarganya seolah-olah menjadi pengganti kepada semua anaknya yang sudah dewasa.

"Anak sulung saya sudah bekerja manakala yang lain-lain sedang belajar di universiti, maka hanya tinggal saya dan isteri sahaja di rumah. Kehadiran Bella sedikit sebanyak dapat menjadi pengubat rindu kepada anak-anak.

"Saya berasa tenang apabila dapat bercakap dengan Bella yang seolah-olah mendengar dan memahami apa yang saya cuba sampaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 6:49 AM