ISMAIL dengan karyanya mengenai suasana di Kuala Lumpur.
ISMAIL dengan karyanya mengenai suasana di Kuala Lumpur.
Aniza Zainudin


DUA bersaudara yang berbeza cita rasa, tetapi sama-sama memperjuangkan keindahan seni lukisan tanah air dan mengangkat aspek keharmonian Malaysia menerusi kombinasi pelbagai warna.

Ismail dan Roslan Itam, antara empat pelukis berbakat besar yang menyertai pameran ‘Festival Colors of Love’ bersama Ibnoo Jalil serta Zaidismail berlangsung sejak 1 Oktober lalu hingga 31 Disember depan di Premiera Hotel Kuala Lumpur.

Pameran kali ini menyajikan kepelbagaian rona sebagai simbolik kecintaan terhadap warna dan identiti tersendiri seperti ‘naive art’, budaya warisan, kemodenan dan desa.

Ismail atau lebih popular dengan gelaran Mail Itam, membawa 12 siri lukisan yang bertemakan Kuala Lumpur dalam satu kanvas.

“Sebelum berkecimpung dalam bidang lukisan sejak 21 tahun lalu, saya pernah bertugas sebagai ‘illustrator’ di firma arkitek.

“Tercari-cari identiti, saya melihat pengalaman itu adalah kelebihan tersirat. Bermula 2008, saya memilih untuk mengangkat bangunan ikonik dan warisan di Kuala Lumpur sebagai fokus utama.

“Lukisan pertama yang dihasilkan adalah Bangunan Sultan Abdul Samad dan ia sering menjadi pilihan popular orang kenamaan serta pelancong asing sebagai cenderamata.

KEKUATAN budaya dipamer menerusi rona terang.
KEKUATAN budaya dipamer menerusi rona terang.

“Demi memenuhi tema pameran kali ini, saya membawakan koleksi lukisan Kuala Lumpur Pada Pandangan Pelukis.

“Lukisan ini saya memasukkan semua bangunan dan struktur ikonik Kuala Lumpur dalam satu kanvas. Jika diperhatikan, dua ikonik utama dalam lukisan saya adalah Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

“Saya pilih warna bumi seperti hijau dan biru sebagai latar belakang serta menggunakan warna sedikit pudar bagi subjek bangunan.

“Untuk menyerlahkan erti perayaan warna, saya menyuntik elemen bunga api dalam siri Kuala Lumpur dan Putrajaya Ria,” katanya yang pernah membuka kedai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, adiknya, Roslan atau Lan Itam pula mengambil pendekatan berbeza apabila meraikan ‘festival warna’ menerusi elemen budaya dan warisan.

Aktif sejak tujuh tahun lalu, Lan melihat budaya Malaysia sebagai kecintaan terhadap warna yang melambangkan kepelbagaian kaum, budaya dan seni tanah air.

Seperti lukisan ‘Tarian Gawai’ yang sinonim dengan tarian tradisional di kepulauan Borneo, cukup melambangkan variasi warna terang daripada aspek pakaian, aksesori serta gerak geri tarian berkenaan.

Idea sama turut disuntik bagi karya ‘Mak Yong’, yang menggunakan pilihan warna terang dan kontra bagi menonjolkan kemeriahan budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 10:08 AM