Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Perumpamaan itu cukup dekat dengan mereka yang gemar membuat kebajikan demi membantu orang lain atau lebih memerlukan.

Jumlah bantuan diberikan menjadi perkara kedua kerana apa yang lebih utama adalah kemurnian hati individu terbabit meringankan beban orang lain.

Lebih membanggakan ada kalanya sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk menambahkan dana sekiranya sumbangan penderma tidak mencukupi.

Tidak ramai sanggup berbuat demikian, namun mereka yang terbabit dalam kerja amal boleh dianggap sebagai insan terpilih kerana Allah menggerakkan hati untuk melakukan kebajikan.

Biarpun kebajikan dilakukan seseorang itu dalam pelbagai cara dan penerimanya berlainan kategori, matlamatnya adalah sama iaitu membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Begitu juga dilakukan wanita ini apabila mengambil inisiatif memberi sumbangan kepada pesakit wad 3 di 15 hospital kerajaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

SUKARELAWAN beramah mesra dengan pesakit.
SUKARELAWAN beramah mesra dengan pesakit.

Ia dilakukan menerusi Projek Buat Baik yang dikendalikan Hariaety Empire iaitu syarikat persendirian dengan kerjasama Kelab Generasi Dinamik sepanjang Ramadan tahun ini.

Idea asal daripada pengelola projek berkenaan iaitu Mawar Hariaety Azmi yang mempunyai pengalaman 12 tahun bekerja dalam bidang farmasi di sebuah hospital kerajaan sebelum ini.

Katanya, bekerja di hospital memberikannya peluang melihat sendiri keadaan pesakit di wad 3 hospital yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Kebanyakan daripada mereka berasal dari keluarga yang sederhana dan susah. Saya mahu mendekati pesakit itu supaya mereka rasa dihargai dan turut diberikan perhatian.

"Lazimnya pesakit di hospital luar bandar yang terbabit dalam projek ini begitu menghargai sumbangan diberikan dan ini membuatkan saya tersentuh hati.

"Memang semuanya mempunyai keluarga dan sama sekali tidak diabaikan, cuma kami mahu meraikan serta memberikan keseronokan kepada mereka saja," katanya kepada Nuansa.

SUKARELAWAN bersama jururawat Hospital Tanjung Karang.
SUKARELAWAN bersama jururawat Hospital Tanjung Karang.

Menurutnya, berada di dalam wad bukan perkara menyeronokkan tapi demi rawatan mereka perlu melaluinya.

Jelasnya, projek itu mula diadakan pada 2015 dan sumbangan diberikan dalam bentuk bungkusan makanan bernilai RM10 setiap seorang.

Menurutnya, bungkusan itu mengandungi air kotak minuman, kek, kurma, biskut raya dan buah-buahan. Pemilihan makanan pula sebagaimana yang dipersetujui pihak hospital.

"Ini kerana pesakit di hospital mempunyai pelbagai penyakit dan langkah itu bagi mengelakkan menjejaskan kesihatan mereka.

"Dana diperoleh adalah sumbangan daripada sukarelawan yang terbabit dalam projek ini iaitu sekurang-kurangnya RM50 seorang untuk pemberian sumbangan kepada lima pesakit.

"Seramai 2,500 pesakit daripada 15 hospital terbabit menerima sumbangan daripada kami pada tahun ini," katanya.

MELAWAT kanak-kanak di Hospital Putrajaya.
MELAWAT kanak-kanak di Hospital Putrajaya.

Jelasnya, jumlah penerima tahun ini lebih ramai berbanding tahun sebelumnya yang mana pada 2016 membabit seramai 1,500 penerima. Sementara pada 2015 ialah sebanyak 700 penerima.

"Peningkatan itu (penerima) kerana jumlah kutipan sumbangan meningkat ekoran ramai penyumbang baru.

"Antara hospital luar bandar yang kami kunjungi ialah Hospital Kuala Kubu Baru, Hospital Tanjung Karang, Hospital Sabak Bernam dan Hospital Banting," katanya.

Katanya lagi, beliau memilih projek itu kerana mahu membuat pendekatan berbeza berbanding kebiasaan dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Berkongsi sedikit 'rahsia' dirinya untuk mengetahui apakah yang mendorongnya untuk melakukan kerja kebajikan, Mawar Hariaety mengakui ia bermula apabila jiwanya berasa kosong disebabkan tidak melakukan apa-apa aktiviti ketika sedang sarat mengandung anak kedua.

DR Azman (tengah) bersama penuntut IPG Kampus Bahasa Melayu yang juga pelakon teater kanak-kanak Celaga Sakti.
DR Azman (tengah) bersama penuntut IPG Kampus Bahasa Melayu yang juga pelakon teater kanak-kanak Celaga Sakti.

"Lalu tercetuslah idea membuat projek ini yang pada mulanya dijalankan secara kecil-kecilan tapi tidak menyangka ia mendapat sambutan.

"Kini 80 sukarelawan terbabit dalam projek ini yang kebanyakannya adalah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Katanya, ia satu pendekatan untuk mendedahkan penuntut terhadap aktiviti kebajikan yang boleh mereka teruskan walaupun sudah bekerja kelak.

Beliau berkata, impak projek itu bukan kepada pesakit semata-mata tapi juga sukarelawan kerana mereka menjadi sensitif dan lebih peka terhadap warga emas.

KUNJUNGAN Kelab Generasi Dinamik di Wad Kanak-kanak Hospital Putrajaya.
KUNJUNGAN Kelab Generasi Dinamik di Wad Kanak-kanak Hospital Putrajaya.

"Selain itu Islam menggalakkan umatnya menziarah orang sakit kerana akan memperoleh ganjaran pahala. Jadi ini peluang kita untuk mendapat banyak pahala kebajikan terutamanya dalam Ramadan," katanya.

Jelasnya, beliau sendiri tidak ketinggalan merasai kelebihan daripada aktiviti itu apabila jiwanya berasa lebih dan bahagia yang sukar untuk diperjelaskan.

"Mungkin ini keberkatan doa daripada penerima sumbangan. Walaupun saya tidak mengenalinya tapi ikhlas membantu mereka," katanya.

Dalam pada itu Mawar Hariaety berkata, beliau bercadang mahu meneruskan projek itu pada Aidilfitri dengan bekerjasama dengan NGO lain di bawah projek Buat Baik Syawal 2018.

SUKARELAWAN daripada Selimut Putih menyertai projek Buat Baik anjuran Hariaety Empire bersama Kelab Generasi Dinamik.
SUKARELAWAN daripada Selimut Putih menyertai projek Buat Baik anjuran Hariaety Empire bersama Kelab Generasi Dinamik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 2:11 PM