ZEN (kanan) dan Tang (dua dari kiri) menunjukkan mural lego 3D.
ZEN (kanan) dan Tang (dua dari kiri) menunjukkan mural lego 3D.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Dipandang dari sudut kiri kelihatan wajah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. Beralih ke sudut kanan wajah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pula kelihatan.

Bagaimanapun, apabila berdiri di hadapan akan muncul wajah kedua-dua insan yang disayangi rakyat negara ini.

Itu keunikan mural tiga dimensi (3D) menggunakan 9,216 kepingan lego dihasilkan ahli Republic of Brick (ROB) dan ia menjadi tarikan utama dalam Pameran Seni Lego: Sayangi Malaysiaku di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pameran itu diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

Sebanyak 18 mozek lego dihasilkan yang 12 daripadanya adalah mural Tun Dr Mahathir.

Selebihnya mural menteri Kabinet seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Presiden ROB Zen ChanYang Shan berkata, 20 ahli ROB menghasilkan mural 3D berkenaan dalam tempoh dua bulan.

“Kos membuat mural 3D ini kira-kira RM10,000 dan kepingan itu diimport dari Eropah.

“Idea ini tercetus selepas Carousell meminta kami (ROB) mencipta kelainan untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya kepada Nuansa.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang merakam mural lego 3D.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang merakam mural lego 3D.

Katanya, semua imej pada mural berkenaan adalah tokoh dan pemimpin negara yang begitu dekat di hati ahli kelab terbabit.

“Padanan kepingan lego yang berbeza untuk menghasilkan mural ini menggambarkan kepelbagaian kaum dan budaya di negara ini yang hidup bersama-sama dalam suasana aman serta harmoni.

“Semangat ini perlu dikekalkan supaya keamanan terus berkekalan demi kemajuan negara yang lebih gemilang,” katanya.

Sementara itu Ketua Negara Carousell Malaysia Tang Siew Wai berkata, sebanyak 166,888 kepingan lego digunakan untuk menghasilkan 18 mural lego berkenaan.

Beliau berkata, Carousell memiliki lebih satu juta barangan lego dan permainan itu menjadi medium untuk menonjolkan kreativiti pembina serta peminatnya pada Hari Kebangsaan tahun ini.

MURAL lego Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah bersama lima menteri Kabinet
MURAL lego Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah bersama lima menteri Kabinet

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 12:51 PM