AZRAL Ismawy menunjukkan sijil dan anugerah yang diterima kepada ibunya Zainah Yahya, 58.
AZRAL Ismawy menunjukkan sijil dan anugerah yang diterima kepada ibunya Zainah Yahya, 58.
Fazurawati Che Lah

Terbabit aktif dengan aktiviti kampus tidak menjadi halangan untuk muncul sebagai graduan terbaik.

Graduan Bachelor of Medical Sciences, Azral Ismawy Ahmad, 24, membuktikan pencapaian itu apabila dianugerahkan Mohd Shukri Yajid Outstanding Award sempena Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) ke-23 MSU Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Anak kelahiran Taiping, Perak itu berkata, biarpun sibuk dengan pelbagai aktiviti kampus dengan beberapa jawatan penting dalam persatuan, dia tetap mengutamakan akademik.

“Saya sudah tetapkan waktu aktiviti di kampus hanya dari pagi sampai ke petang.

“Sebelah malam pula saya akan menumpukan 100 peratus kepada pengajian dan tugasan kuliah untuk dua hingga tiga jam setiap hari,” katanya.

Dia yang menerima tajaan biasiswa daripada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) berkata, berikutan sibuk dengan aktiviti kampus, dia juga akan memastikan sebarang kuliah atau tugasan tidak ketinggalan.

“Saya akan berbincang secara kumpulan dengan kawan sekuliah selain sentiasa melakukan rujukan dengan pensyarah.

“Jadi, saya tidak akan ketinggalan dan sentiasa pastikan pengajian berjalan lancar setiap semester bagi mengelakkan tercicir,” katanya.

Katanya, bagi meneruskan cita-citanya sebagai pensyarah atau penyelidik, Azral Ismawy meneruskan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama di MSU.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 2:20 PM