PELAJAR mereka bentuk corak pada baju-T.
PELAJAR mereka bentuk corak pada baju-T.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Lebih 110 belia pelarian dari Pusat Pembelajaran Alternatif, Akademi IDEAS meraikan Hari Memperingati Nelson Mandela dalam program yang dinamakan Pakaian Komuniti Kita, baru-baru ini.

Ia memberi fokus kepada pembabitan sukarelawan bersama komuniti yang dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan dengan kerjasama Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan UNIQLO Malaysia.

Program Pakaian Komuniti Kita diterajui UNIQLO Malaysia dengan mengadakan bengkel untuk mereka bentuk corak pada baju-T yang bertemakan Cinta dan Keamanan.

Pelarian juga diberi peluang memilih sendiri pakaian baru dan terpakai hingga had maksimum seorang lapan helai disediakan syarikat berkenaan.

Hari Memperingati Nelson Mandela disambut di seluruh negara pada setiap 18 Julai bagi mengiktiraf jasa bekas Presiden Afrika Selatan memperjuangkan keamanan dan kebebasan.

Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan, Samkelisiwe 1 Mhlanga berkata, sewajarnya Hari Memperingati Nelson Mandela diraikan setiap tahun untuk memperingati seorang tokoh negarawan yang dihormati di seluruh dunia.

“Ini supaya masyarakat mengetahui Nelson Mandela adalah pejuang yang lantang menentang Dasar Apartheid hingga dasar itu berjaya dihapuskan.

“Tahun ini adalah ulang tahun kelahiran Nelson Mandela yang ke-100 dan mendiang meninggal dunia lima tahun lalu,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, sempena ulang tahun itu Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan bekerjasama dengan UNHCR yang memilih dan memberi tumpuan untuk memenuhi keperluan pelarian termasuk peluang pendidikan supaya kehidupan mereka lebih terjamin.

PELAJAR memilih pakaian baru dan terpakai sumbangan UNIQLO.
PELAJAR memilih pakaian baru dan terpakai sumbangan UNIQLO.

Berdasarkan rekod, terdapat lebih 158,000 pelarian di Malaysia berdaftar dengan UNHCR dengan 42,000 daripada mereka adalah kanak-kanak.

Sementara itu, wakil UNHCR bagi Malaysia Richard Towle berkata, status pelarian tidak diiktiraf di negara ini menyebabkan mereka tidak dibenarkan menikmati kemudahan seperti bekerja, ke sekolah kerajaan dan kesihatan di hospital.

“Namun, mereka tetap tabah mengharungi kepayahan hidup di sini dan bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Kami menghargai komitmen berterusan diberikan semua pihak membantu pelarian untuk mereka membina semula kehidupan yang bermakna,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Akademik Ideas, Sopiah Suid berkata, pihaknya gembira apabila ada yang berminat menganjurkan aktiviti di pusat berkenaan kerana dapat memberi pendedahan kepada pelajar dengan masyarakat luar.

“Pusat ini ditubuhkan pada tahun 2014 untuk memberikan pendidikan kepada orang kurang bernasib baik termasuk pelarian.

“Kini hanya pelajar pelarian dari Myanmar, Pakistan, Somalia, Afghanistan, Iran, Iraq dan Syria belajar di pusat ini,” katanya.

Beliau berkata, pelajar didedahkan dengan pembelajaran hoslistik berpandukan silibus Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Katanya, tempoh maksimum belajar di pusat berkenaan ialah lima tahun dan selepas itu pelajar boleh melanjutkan pengajian di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:10 PM