PUTERA Harry dan Meghan luangkan masa melawat pameran menandakan ulang tahun ke-100 Nelson Mandela. -Foto Reuters
PUTERA Harry dan Meghan luangkan masa melawat pameran menandakan ulang tahun ke-100 Nelson Mandela. -Foto Reuters

LONDON: Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle, melawat pameran menandakan ulang tahun ke-100 bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, hari ini.

Duke dan Duchess of Sussex itu bertemu rakan dan anggota keluarga pejuang antiaparteid berkenaan yang meninggal dunia pada 2013, termasuk cucu perempuannya, Zamaswazi Dlamini-Mandela.

Mereka juga berkesempatan berbual dengan Andrew Mlangeni, 92, yang dipenjara hampir tiga dekad di Robben Island bersama-sama Mandela.

Putera Harry mengunjungi sel yang menempatkan Mandela di pulau itu ketika lawatan ke Afrika Selatan pada 2015.

Pameran ditunjukkan dalam pelbagai bentuk di seluruh dunia, termasuk enam minggu di Dewan Bandaraya Paris pada 2013.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Nelson Mandela, Sello Hatang, berkata: “London adalah pusat utama penjajahan Afrika Selatan dan ibu pejabat gerakan antiaparteid antarabangsa.

“Ia juga lokasi beberapa ucapan Nelson Mandela paling memberi inspirasi.”

Harry dan Meghan berkahwin dua bulan lalu di Istana Windsor, kediaman Ratu Elizabeth di barat London, dalam upacara yang disaksikan jutaan penonton televisyen di seluruh dunia.

Pameran di Pusat Southbank di London itu adalah percuma dan berlangsung hingga 19 Ogos ini. – Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 10:36 PM