RATUSAN pelarian menaiki kereta api kargo di selatan Mexico untuk meneruskan perjalanan mereka ke Amerika Syarikat.
RATUSAN pelarian menaiki kereta api kargo di selatan Mexico untuk meneruskan perjalanan mereka ke Amerika Syarikat.
Agensi

RATUSAN pelarian yang kecewa dengan kerajaan Mexico mencuba nasib memasuki Amerika Syarikat (AS) dengan ‘menumpang’ kereta api kargo di selatan negara itu.

Mereka mengambil langkah berisiko dengan memanjat bumbung kereta api yang digelar sebagai ‘La Biesta’.

Tindakan itu susulan kejadian lebih seribu pelarian meloloskan diri dari pusat penahanan di bandar sempadan Tapachula, malam Khamis lalu.

Kerajaan Mexico menganggarkan 1,300 tahanan melarikan diri, namun hanya sebilangan kecil kembali semula ke pusat itu.

Lelaki, wanita termasuk kanak-kanak dari pelbagai negara mengambil kesempatan menaiki kereta api itu ketika ia meninggalkan stesen di Arriaga di selatan Chiapas.

Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa menganggarkan sekurang-kurangnya 395 pelarian menaiki kereta api itu.

PELARIAN dari Honduras mengibarkan bendera negara mereka.
PELARIAN dari Honduras mengibarkan bendera negara mereka.

Kumpulan terbabit dilaporkan turun di Ixtepec yang terletak di barat laut Arriaga ketika kereta api berhenti di bandar itu, Jumaat lalu.

“Kami perlu terus ke hadapan dan mendoakan supaya Tuhan sentiasa membantu kami.

“Pihak berkuasa tidak membenarkan kami berjalan, jadi kami panjat ke atas kereta api kerana itu satu-satunya cara yang ada,” kata pelarian dari Honduras, Michael Hernandez.

Seorang lagi pelarian Honduras di Zapata, Erick Morazan, 28, berkata, dia mengenali beberapa individu yang menaiki kereta api itu.

“Saya tahu langkah itu bahaya, namun ini kehidupan sebagai pelarian,” katanya kepada Reuters menerusi panggilan telefon.

Presiden AS, Donald Trump menggugut akan menutup sempadan antara dua negara itu sekiranya Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador tidak membendung kemasukan pendatang haram ke AS.

Kejadian di pusat penahanan Tapachula adalah yang terbesar sejak beberapa tahun lalu dan tercetus selepas kerajaan Mexico mula menghantar pelarian kembali ke negara asal.

PIHAK berkuasa menganggarkan 395 orang menaiki kereta api itu.
PIHAK berkuasa menganggarkan 395 orang menaiki kereta api itu.

Pihak berkuasa Mexico berkata, hanya 35 daripada 645 tahanan yang melarikan diri kembali semula ke pusat berkenaan.

Rakaman video kejadian itu yang dimuat naik di media sosial memperlihatkan tahanan melompat dari pagar pusat penahanan terbesar Mexico itu.

Anggota keluarga pelarian di pusat terbabit berkata, tahanan terpaksa tidur di atas lantai, makanan tidak mencukupi dan kekurangan rawatan perubatan.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa berkata, sebahagian besar pelarian adalah warga Cuba dan jumlah mereka semakin meningkat.

Seramai 980 daripada 1,745 orang di pusat penahanan Tapachula adalah warga Cuba.

Jurucakap imigresen Costa Rica berkata, lebih 100 warga Cuba dan Afrika memasuki negara itu dari Panama setiap hari sejak minggu lalu dan mereka menuju arah utara.

KUMPULAN pelarian itu turun di stesen Ixtepec, Jumaat lalu.
KUMPULAN pelarian itu turun di stesen Ixtepec, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 8:33 AM