SENTIASA rendah diri ketika menjalani latihan industri.
SENTIASA rendah diri ketika menjalani latihan industri.
Fazurawati Che Lah

“Alamak! saya tak pernah pun belajar perkara ini di universiti. Oh! yang ini saya tak tahu, jadi saya tak boleh buat."

Itu antara ragam segelintir mahasiswa yang menjalani latihan industri (LI) sebaik cuti semester bermula.

Bermula episod baharu bagi mahasiswa yang perlu menjalani LI atau ada juga yang menggunakan istilah latihan praktikal.

Walau apa pun istilah yang digunakan, matlamatnya tetap berpaksikan kepada keberhasilan untuk memberikan pengalaman kepada penuntut akan suasana sebenar alam pekerjaan.

Buat masa ini, kebanyakan penuntut universiti awam (UA), kolej kemahiran dan universiti swasta sedang mengikuti LI bagi tempoh dua hingga empat bulan.

Bagaimanapun, alasan seperti itu mungkin biasa bagi penuntut kerana baru merasai alam pekerjaan sebenar namun ia agak menjengkelkan majikan dan dibimbangi memberi gambaran negatif terhadap kualiti mahasiswa itu sendiri.

Sikap ambil mudah seperti itu juga turut sedikit sebanyak menjejaskan imej institusi kerana gagal mendidik penuntutnya.

SENTIASA mendapatkan pandangan  daripada majikan.
SENTIASA mendapatkan pandangan daripada majikan.

Mengulas lanjut berkenaan LI, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik & Perhubungan Korporat), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Afandi Ahmad berkata, peluang menjalani LI adalah medan untuk membina rangkaian yang lebih baik dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya, sikap kera sumbang mesti dijauhi dalam dunia pekerjaan. Ketika menjalani LI, peluang untuk ‘menjual diri’ mesti dihargai secara telus.

“Bukanlah bermaksud penuntut melakukan tindakan yang keterlaluan untuk mempromosikan diri seperti budaya kipas, budaya cakap saja, tangan tidak bergerak mesti dielak, sebaliknya perlu memanfaatkan ruang dan peluang bertemu dengan pelbagai pihak.

“Berbekalkan menampilkan imej positif, diyakini ditawarkan pelbagai peluang misalnya pekerjaan tetap akan terbuka luas,” katanya.

Jelas Dr Afandi, menjalani sesi LI tanpa persediaan, tidak lebih hanya menjadikannya suatu perkara yang sangat membosankan dan pastinya merugikan.

Katanya, jika ada pula yang menganggap tempoh latihan yang bakal dilalui ini hanya sekadar pelengkap pengajian, sudah tentu kumpulan ini hanya berharap untuk lulus semata-mata.

Tegasnya, sesi LI atau praktikal adalah peluang terbaik untuk menajamkan daya fikir dalam penyelesaian masalah yang kompleks kerana begitu ditekankan dalam program pengajian khususnya di universiti.

LATIHAN industri melatih penuntut untuk lebih proaktif.
LATIHAN industri melatih penuntut untuk lebih proaktif.

“Menjadi kelaziman, sepanjang tempoh LI penuntut tidak hanya ditempatkan dalam jabatan atau dengan skop pekerjaan yang sama. Rasionalnya, ini bagi membolehkan mereka diberi peluang untuk menimba semaksimum mungkin pengalaman sepanjang tempoh latihan.

“Ramai penuntut yang sudah melalui sesi LI menzahirkan pandangan apa yang mereka pelajari di universiti tidak begitu berkaitan dan sebenarnya persepsi ini meleset. Perlu difahami apa yang dipelajari di institusi masing-masing adalah asas untuk membentuk daya fikir ke arah penyelesaian masalah yang kompleks.

“Inilah masa yang terbaik siswa untuk menilai diri khusus dalam aspek daya fikir, ketahanan mental dan fizikal apabila berdepan dengan masalah yang kritikal dan realiti dunia pekerjaan. Tidak keterlaluan jika dikatakan proses di institusi pengajian itu umpama simulasi dan realitinya adalah menerusi dunia pekerjaan sebenar,” katanya.

Katanya, menerusi sesi LI, aspek kemahiran insaniah (KI) penuntut akan teruji dan boleh ditambah nilai.

“Mereka yang ketika pengajian berperanan aktif dalam pelbagai aktiviti, biasa berperanan sebagai ketua kumpulan atau pimpinan akan berupaya mengetuai sesuatu projek dengan berkesan.

“Sebaliknya, penuntut yang sepanjang pengajian hanya menjadi ulat buku atau yang tidak pernah keluar daripada tempurung keselesaan masing-masing, sudah tentu sukar untuk bekerjasama. Sesi latihan akan dirasakan begitu menekan dan ini belum lagi dengan keperluan di tempat kerja yang memerlukan banyak laporan dan pembentangan disediakan untuk keperluan pelanggan.

“Tidak terkecuali isu penguasaan bahasa Inggeris yang juga penting dalam komunikasi dalam dunia pekerjaan.

“Ramai penuntut yang berasakan LI itu tidak menyeronokkan kerana mereka tidak menjangka dunia pekerjaan bukan hanya tentang gred dan kepintaran intelek, tetapi bagaimana kita membawa diri bersama-sama rakan sepasukan, itulah kepintaran emosi,” katanya.

LATIHAN industri memberi pengalaman baru kepada siswa.
LATIHAN industri memberi pengalaman baru kepada siswa.

Katanya, bagi institusi yang membuka peluang program mobiliti latihan di luar negara, rebutlah peluang itu.

“Jika selama ini, siswa melihat bagaimana pekerja asing bekerja di Malaysia, sudah pasti pengalaman menjalani latihan di luar negara akan membuka minda mereka.

“Selain membina rangkaian yang lebih luas, ini juga akan membina horizon lebih lebar kerana bukan saja aspek bidang khusus pekerjaan yang akan ditimba, malah pengembangan kefahaman dalam aspek budaya dan bahasa juga akan berlaku,” katanya.

Ringkasnya, Dr Afandi berkata, sesi LI tidak boleh dipandang ringan atau difikirkan sebagai suatu yang membebankan atau hanyalah sebagai pelengkap pengajian.

Katanya, peluang menjalani latihan di dunia realiti mesti dihargai dan dimanfaatkan sebagai cerminan untuk menilai kekuatan dan kelemahan diri.

Selain menjalani sesi latihan dengan sikap rendah diri serta proaktif, janganlah sesekali berlagak pandai dengan mengatakan semuanya sudah tahu atau sebaliknya.

“Tetapi jika sekali pun tidak tahu, janganlah semudahnya mengatakan, maklumkanlah secara sopan hal itu tidak diketahui tetapi sedia untuk berusaha dan belajar.

“Sikap positif beginilah yang dicari bakal majikan, jangan hanya datang ke tempat latihan dan tunggu diberikan kerja. Sebaliknya, carilah peluang untuk belajar, terus belajar dan memperbaiki diri,” katanya.

JALANI latihan industri dengan baik untuk kejayaan yang cemerlang.
JALANI latihan industri dengan baik untuk kejayaan yang cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 2:25 PM