DATUK Dr Prof Noor Azizi Ismail (kiri). FOTO Nor Amalina Alias
DATUK Dr Prof Noor Azizi Ismail (kiri). FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menangguhkan pengambilan penuntut dari China bagi sesi kemasukan Februari sebagai langkah berjaga-jaga penularan koronavirus baharu.

Naib Canselornya, Datuk Dr Prof Noor Azizi Ismail berkata, seramai 200 penuntut dari negara itu bakal mendaftar di UMK bagi pengajian peringkat pra dan pasca siswazah dalam pelbagai bidang bulan ini.

Katanya, atas faktor kesihatan, pihaknya mengadakan perbincangan dan bersetuju untuk menangguhkan seketika kemasukan mereka pada September nanti.

“Buat sementara ini, kita tangguh dulu kemasukan penuntut kita yang datang dari wilayah dilanda wabak, atau wilayah terdekat.

“Untuk tawaran (pengajian) itu, kita tangguhkan dulu, dengan harapan ketika itu dah jumpa ubat atau penyakit (koronavirus baharu) ini sudah dapat dibendung,” katanya ketika ditemui pada Karnival Penyelidikan dan inovasi UMK 2019 di UMK Kampus Bachok, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Timbalannya, Abd Azizz Kadir.

Noor Azizi berkata, pihaknya juga menangguhkan sebarang aktiviti universiti ke negara berkenaan bagi mengelakkan sebarang pendedahan virus kepada warga UMK.

Katanya, ini termasuk perjalanan UMK yang sepatutnya ke China bagi pertandingan ‘Outbound Mobility’ bulan ini turut dibatalkan.

“Pihak universiti sentiasa mengikuti perkembangan terkini virus berkenaan, terutama daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

“Malah di universiti juga, kita sediakan langkah berjaga-jaga yang mana setiap pelajar melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur atau luar negara dalam tempoh ini, kami adakan saringan ujian kesihatan,” katanya.

Sementara itu, dalam karnival berkenaan sebanyak 145 penyelidik mempamerkan kajian masing-masing membabitkan pensyarah UMK dan pelajar sekolah.

Noor Azizi berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan ratusan kajian yang bakal dilaksanakan UMK dan pihak luar dalam pelbagai bidang.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 1:35 PM