AISYAH Maisarah bersama Anugerah Kempimpinan Keusahawanan yang dimenanginya pada Majlis Anugerah Perdana Siswa UM 2023.
AISYAH Maisarah bersama Anugerah Kempimpinan Keusahawanan yang dimenanginya pada Majlis Anugerah Perdana Siswa UM 2023.
Suliati Asri


MINAT yang mendalam terhadap dunia perniagaan dan keperluan kewangan membuatkan anak jati Kuala Lumpur ini bijak dalam mencari peluang pendapatan.

Bertitik tolak dari itu, pelajar tahun ketiga kursus bioteknologi Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Aisyah Maisarah Abd Razak, 22, ini tidak hanya menjalankan enam perniagaan sambilan, tetapi juga mendorongnya menjadi usahawan bioteknologi.

Lebih membanggakan, di atas kegigihan itu, Aisyah Maisarah yang lebih mesra disapa Sera menjadi penerima Anugerah Kepimpinan Keusahawanan pada Majlis Anugerah Perdana Siswa UM 2023 baru-baru ini.

Minat berniaga sejak berusia lapan tahun

Sera berkata, dia mula berjinak-jinak dengan dunia keusahawanan sejak berumur lapan tahun dengan menjual mainan kanak-kanak dari bola tikam.

Ketika itu, duit belanja RM3 sehari tidak cukup untuknya membeli aiskrim dan pen warna keinginannya di koperasi sekolah.

"Sejak kehilangan arwah ayah pada 2013, saya dan keluarga juga sudah biasa melakukan pelbagai kerja untuk mencari pendapatan tambahan.

ANTARA projek bioteknologi yang dihasilkan Aisyah Maisarah yang boleh dikomersialkan.
ANTARA projek bioteknologi yang dihasilkan Aisyah Maisarah yang boleh dikomersialkan.

"Disebabkan pandemik Covid-19, saya dan ibu mula mengusahakan perniagaan bakeri dengan nama 'Peti Sera' secara kecil-kecilan dari rumah.

"Kami mendapat banyak tempahan kek brownies dan roti dari penduduk sekitar ketika itu yang tidak dapat keluar rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Perniagaan bakeri dengan nama Peti Sera ini juga semakin berkembang dan kini saya mula membekalkan produk bakeri kepada kedai di kolej kediaman UM," katanya anak bongsu dari tiga beradik ini.

Selain aktif di kampus, Sera kini bukan saja menguruskan satu, malah enam jenis perniagaan pada masa lapangnya.

Antara perniagaan yang dijalankan termasuk menjual produk bakeri, bunga konvokesyen, mengumpul dan menjual buku terpakai dalam kalangan pelajar dan kad perniagaan (business card) digital.

KEK brownies antara produk yang dijual Aisyah Maisarah.
KEK brownies antara produk yang dijual Aisyah Maisarah.

Impi jadi usahawan bioteknologi

Sera sangat komited dalam mengejar cita-citanya menjadi usahawan sehingga memberi kesan kepada pemilihan kursus pengajiannya di UM.

"Dari pelbagai pembacaan dan nasihat pensyarah, saya memilih jurusan bioteknologi kerana bidang ini yang paling berpotensi dan mudah diaplikasikan secara terus, berbanding cabang jurusan sains yang lain.

"Melalui silibus bidang bioteknologi yang praktikal, saya berpeluang membangunkan produk saya sendiri untuk dipasarkan kelak," katanya.

AISYAH Maisarah juga adalah usahawan sosial yang membawa pengunjung melawat Ladang Mini ISB UM.
AISYAH Maisarah juga adalah usahawan sosial yang membawa pengunjung melawat Ladang Mini ISB UM.

Tidak gusar bergelumang dengan larva lalat demi cita-cita

Lebih mengujakan, demi cita-cita menjadi usahawan bioteknologi, Sera tidak gusar bergelumang dengan larva lalat.

Sera memasang impian produk pertamanya berkemungkinan besar berkisar di sekeliling satu spesies lalat yang istimewa, Black Soldier Fly (BSF).

"BSF adalah spesies yang menarik kerana pada fasa larvanya, serangga ini mampu memakan sehingga berkali ganda saiz badannya dalam masa singkat.

"Ini menjadikannya sumber protein yang sangat baik untuk pemakanan haiwan ternakan seperti ayam, itik, ikan dan haiwan peliharaan lain termasuk haiwan eksotik.

"Menariknya, larva BSF ini memakan kebanyakan sisa organik, termasuk sisa makanan.

"Ini menjadikannya satu penyelesaian yang mampan untuk masalah pengurusan sisa yang kita hadapi, terutama pembaziran makanan yang sangat kritikal di Malaysia," katanya yang juga penerima biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman.

Berbeza dengan spesies lalat yang biasa kita lihat menghurung sampah sarap dan membawa penyakit, Sera berkata, BSF bukan vektor penyakit atau serangga perosak bahkan ia dikenali sebagai ejen pengurai sisa organik.

"Ini membolehkan larva BSF digunakan sebagai pencerna sisa makanan kita di samping menjadi makanan haiwan ternakan yang selamat.

"Sisa buangan atau frass larva itu pula boleh digunakan sebagai baja tanaman.

"Justeru, sebagai usahawan sosial, saya sangat teruja apabila menyedari idea ini boleh diadaptasikan secara besar-besaran di kampus universiti sebagai satu ekosistem ekonomi kitaran kerana UM mempunyai lebih 20 kafeteria dan ladang haiwan ternakan sendiri (Ladang Mini ISB)," katanya.

Bijak bahagi masa

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara perniagaan dan pelajar, jawab Sera, memilih perniagaan bermusim seperti jualan bunga konvokesyen antara yang dilakukannya.

"Saya juga memilih jenis perniagaan yang boleh diautomasikan sistemnya seperti jualan di Shopee. Dengan itu, saya tidak perlu komitmen tinggi dan boleh fokus kepada belajar.

"Sejujurnya saya juga pernah berasa tidak cukup masa, tetapi tidak sampai mahu berhenti berniaga kerana dengan berniaga ini saya boleh mengurangkan stres.

"Cuma saya akan mengurangkan aktiviti bisnes atau menangguhkan dulu jika ada rancangan mengembangkan perniagaan ketika minggu peperiksaan," katanya.

Bagi rakan-rakan pelajar yang mahu belajar dan berniaga, nasihat Sera, pilih jenis perniagaan yang kurang mengambil masa, tapi tinggi keuntungannya.

"Sertai dan isi permohonan program keusahawanan pelajar di universiti masing-masing. Ini kerana banyak peluang, geran dan bantuan untuk usahawan pelajar yang ditawarkan.

"Ambil peluang yang ada sebaiknya ketika masih digelar mahasiswa,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 7:01 AM