SALAH satu permainan yang dijalankan.
SALAH satu permainan yang dijalankan.
Fazurawati Che Lah

Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat julung kalinya menghimpunkan semua badan beruniform penuntut di bawahnya dalam satu perkhemahan mega baru-baru ini.

Perkhemahan Tahunan Badan Beruniform PPKI itu diadakan di Pasir Puteh Resort, Kalumpang, Hulu Selangor, Selangor bertujuan mengintegrasikan kepelbagaian badan beruniform dengan pembinaan semangat berkumpulan dan sinergi dalam kalangan individu yang terbabit.

Program ini disusun bagi membolehkan perkongsian kemahiran sesama badan beruniform dapat diaplikasikan dalam aktiviti sepanjang perkhemahan.

Perkhemahan mega ini disertai enam badan beruniform iaitu iaitu Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS) dan Pasukan Siswa Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Badan beruniform lain pula membabitkan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Bulan Sabit Merah (BSM) dan Siswa Bomba Bantuan (SBB).

SEBAHAGIAN aktiviti senaman pagi.
SEBAHAGIAN aktiviti senaman pagi.

Bagaimanapun, badan beruniform seperti PALAPES dan Kor SUKSIS masing-masing sebelum ini sememangnya mempunyai modul perkhemahan perlu diikuti siswa yang menyertainya.

Namun terdapat juga badan beruniform yang tidak mengadakan latihan berbentuk perkhemahan.

Idea yang mencetuskan perkhemahan tahunan badan beruniform ini diilhamkan Naib Canselor USIM Profesor Datuk Dr Musa Ahmad yang juga Komandan PALAPES USIM.

Sebelum ini, PPKI mengambil inisiatif mengadakan perhimpunan pagi badan beruniform secara berkala di Dataran Canselori pada setiap semester dan masih diteruskan hingga kini.

Menurut Penolong Pendaftar Kanan PPKI Masna Hamidun, selaku pegawai penyelaras perkhemahan ini, 163 penuntut badan beruniform, komandan, pegawai penyelaras, pegawai kehormat dan jurulatih terbabit sebagai peserta.

 DR MUSA (depan) turut menyertai aktiviti lasak.
DR MUSA (depan) turut menyertai aktiviti lasak.

“Selain menghimpunkan badan beruniform PPKI dalam satu aktiviti bersama-sama, ia juga memberi peluang kepada penuntut yang tidak berpeluang merasai aktiviti perkhemahan sebelum ini merasainya.

“Selama tiga hari dua malam perkhemahan ini dipenuhi dengan pelbagai pengisian yang dilaksanakan secara bersama membabitkan semua badan beruniform.

“Satu kerjasama yang erat antara mereka dapat kita lihat,” ujarnya.

Antara pengisian yang diadakan adalah latihan dalam kumpulan, aktiviti lasak di dalam air, gotong-royong menyediakan jamuan makan, senaman cergas, eksplorasi alam, tazkirah, perkongsian pengurusan badan beruniform dan kemuncaknya malam kebudayaan.

Badan beruniform USIM turut menggapai banyak kejayaan di peringkat kebangsaan sekali gus mengharumkan nama universiti antaranya pada tahun lalu, Kor SUKSIS USIM dinobatkan sebagai Kor SUKSIS Universiti Awam Terbaik 2017.

Pada 2016, badan beruniform USIM turut mencipta sejarah menjadi peneraju dan pertama seumpamanya di universiti awam apabila melaksanakan program rondaan malam dikenali dengan ASSAS untuk memantau keselamatan kampus dan kolej kediaman.

Kumpulan rondaan beruniform ini akan melakukan rondaan pada waktu yang ditetapkan bersama-sama kakitangan Jabatan Keselamatan USIM.

PESERTA perkhemahan bergambar kenangan.
PESERTA perkhemahan bergambar kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 2:21 PM