KOR SUKSIS USIM gembira dinobatkan Kor SUKSIS Terbaik.
KOR SUKSIS USIM gembira dinobatkan Kor SUKSIS Terbaik.

Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Ketua Polis Negara - Skuad Terbaik Kor SUKSIS 2017 sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Suksis Universiti Awam ke-13 di Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, Kor SUKSIS USIM turut meraih kecemerlangan berganda dengan pencapaian Mohd Afifie Hasbullah, penuntut program Teknologi Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi apabila dipilih Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor SUKSIS Universiti Awam 2017.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang mewakili Ketua Polis Negara pada majlis itu. Dua kecemerlangan dicapai Kor SUKSIS USIM ini adalah pencapaian terbaik diterimanya pada masa ini.

Bagi anugerah peringkat USIM, Nor Ifa Siron dianugerahkan Pegawai Terbaik Latihan Akademik dan Hadi Imran A Halim dipilih penerima anugerah Pegawai Terbaik Latihan Luar.

Seramai 1,251 pelatih Kor SUKSIS dari 20 universiti awam (UA) termasuk 65 pelatih dari Kor SUKSIS USIM yang terdiri daripada 32 lelaki dan 33 perempuan terbabit dalam pentauliahan kali itu.

Majlis bermula dengan perbarisan tamat latihan di Padang Kawad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UUM pada sebelah pagi sebelum diikuti penyampaian sijil pentauliahan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis yang berlangsung di Dewan Muadzam Shah UUM.

Kejayaan manis Kor SUKSIS USIM dalam majlis pentauliahan kali ini turut dikongsi Komandan Kor SUKSIS USIM Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

“Saya mewakili Pengurusan Universiti sangat berbangga dengan kejayaan ini dan memuji komitmen serta disiplin tinggi yang sentiasa diberikan pelatih kita sepanjang mengikuti latihan.

“Kejayaan ini juga terhasil daripada kerjasama erat oleh pengurusan Kor SUKSIS kita yang terdiri daripada pegawai penyelaras, pegawai kehormat dan paling utama barisan jurulatih yang tidak jemu berkongsi pengalaman serta ilmu mereka dengan pelatih,” kata beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.

Kor SUKSIS USIM aktif dalam pelbagai program khidmat komuniti di dalam dan luar negara melalui platform Global Islamic Student Outreach (GISO).

Selain itu, mereka turut terbabit dalam menjayakan pelbagai program utama di universiti antaranya majlis konvokesyen, kawalan keselamatan, perbarisan dan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kor SUKSIS USIM adalah salah satu kursus badan beruniform berkredit yang ditawarkan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM.

Siswa universiti yang dipilih PDRM untuk menjadi pelatih akan mengikuti kursus dan latihan selama enam semester (tiga tahun) sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti sebelum ditauliahkan.

Ini kumpulan (kohot) kesembilan Inspektor Sukarelawan Polis yang dilahirkan oleh USIM sejak Kor SUKSIS USIM mula ditubuhkan pada 2006. -Fazurawati Che Lah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 2:51 PM