PERMAINAN AR dan VR mampu menarik kehadiran pelancong ke Malaysia.
PERMAINAN AR dan VR mampu menarik kehadiran pelancong ke Malaysia.
Hafiz Ithnin

Adventuria Sdn Bhd (Adventuria), pemilik pusat hiburan keluarga untuk permainan pengembaraan realiti maya (VR) dan berperantara (AR), The Rift berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan e-sukan di rantau Asia Tenggara.

Ia berikutan langkah Adventuria ketika ini membuka pusat hiburan berkenaan yang terbesar di Malaysia dan rantau Asia Tenggara dengan menawarkan lebih 30 permainan AV serta AR.

Malah, syarikat itu juga berhasrat meluaskan rangkaian pusat hiburan itu ke beberapa negara di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand memandangkan aktiviti e-sukan semakin mendapat perhatian peminatnya di seluruh dunia.

The Rift di Malaysia di Midvalley Megamall, Kuala Lumpur berkeluasan 40,000 kaki persegi itu turut menjadi perintis di negara ini dan bakal membuka cawangan keduanya di Johor Bahru, Johor.

Menariknya, pusat hiburan itu bukan saja tertumpu kepada remaja, malah kanak-kanak juga dapat menyertai beberapa permainan di The Rift Junior dengan penyediaan Playland dan Party Bunker.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusannya Datuk Simon Foong berkata, pihaknya menjangkakan The Rift dapat menarik 500,000 pengunjung setahun memandangkan ia pertama di Malaysia yang sememangnya mempunyai tarikan tersendiri untuk peminat e-sukan.

“Kami juga akan mengadakan pertandingan e-sukan di The Rift di sini yang terbuka kepada pasukan tempatan mahupun asing.

“Ini kerana lokasi ini mempunyai kemudahan yang sesuai dan lengkap dengan pelbagai jenis permainan digital.

“Ia sekali gus dapat menjadikan Malaysia sebagai destinasi kejohanan e-sukan di peringkat antarabangsa dan meningkatkan kunjungan pelancongan ke negara ini pada masa depan,” katanya pada majlis pratonton The Rift baru-baru ini.

Sempena prapelancaran berkenaan, Adventuria menawarkan harga promosi pembukaan bagi Pakej The Rift iaitu RM98 seorang yang merangkumi 10 tarikan dan Zero Latency manakala Pakej Exit Reality dijual pada RM55 seorang yang menawarkan 10 tarikan.

Zero Latency adalah permainan menembak realiti maya perantauan bebas yang memberi peluang kepada pemain untuk mencuba tiga situasi permainan berbeza iaitu peperangan zombi, menyelamatkan angkasa lepas dan peperangan Terminator X.

Simon berkata, penggemar aktiviti lasak mereka boleh mencuba The Leap iaitu permainan lompatan bungee tertutup dan permainan pengembaraan penerbangan 360 darjah di dunia maya, Hurricane VR.

“Pengunjung turut ditawarkan permainan perlumbaan kereta di Race Room iaitu simulator perlumbaan kereta yang canggih dengan kesan bunyi serta visual realitistik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 1:13 PM