Weng Keng ketika memenangi pingat emas di Sukan Sea Filipina dua tahun lalu.
Weng Keng ketika memenangi pingat emas di Sukan Sea Filipina dua tahun lalu.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tidak dapat mempertahankan emas dalam sukan e-Sukan yang dimenanginya dua tahun di temasya Sukan Sea Filipina tidak mengecewakan Dr Yew Weng Keng.

Dia yang menyumbangkan pingat pertama negara dalam sukan itu menerusi permainan Hearthstone berkata, memang dia sudah dapat menjangkakan bahawa permainan berkenaan tidak akan dipertandingkan di temasya dwi tahunan kali ini.

Namun pemegang Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Elektronik yang juga seorang penolong profesor di Universiti Heriot Watt yakin barisan atlet negara yang terpilih ke Hanoi Vietnam nanti mampu mengulangi kegemilangan malah mungkin lebih banyak emas dapat di bawa pulang.

"Saya percaya Malaysia mempunyai ramai pemain yang berpotensi untuk membawa lebih banyak pingat di Sukan Sea kali ini.

"Saya harap dapat menyumbang sesuatu kepada negara dengan cara yang berbeza mungkin saya boleh kongsi pengalaman jika itu boleh membantu," katanya.

Weng Keng berkata, Malaysia mempunyai ramai pemain yang berbakat besar dalam e-Sukan ini justeru dengan latihan yang betul dan persediaan rapi bukan satu yang mustahil untuk membawa lebih dari satu emas pulang ke negara ini.

"Kepada mereka yang akan terpilih mewakili negara ke Sukan Sea, lakukan yang terbaik buat negara. Bagi negara bangga dengan kejayaan anda semua," katanya.

Pada dua tahun lalu sebanyak enam pingat emas dipertandingkan dalam eSukan iaitu, Tekken 7, Starcraft II, Heartstone, Arena of Valor, Dota 2 dan Mobile Legends: Bang Bang.

Pada temasya kali ini lapan judul permainan e-sukan antaranya 'League of Legends: Wild Rift dan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) yang menawarkan 10 pingat emas akan dipertandingkan pada Sukan Sea di Hanoi, hujung tahun ini.

Tiga judul permainan adalah untuk permainan komputer iaitu bagi acara League of Legends (berpasukan), Fifa Online 4 (berpasukan) dan Crossfire (berpasukan), manakala selebihnya bagi permainan peranti mudah alih.

Judul permainan untuk peranti mudah alih pula termasuklah acara League of Legends: Wild Rift lelaki dan wanita berpasukan; Arena of Valor (berpasukan); PUBG berpasukan dan individu; Free Fire (berpasukan) dan Mobile Legends: Bang Bang (berpasukan).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 5:34 PM