ZULKIFLI (kanan) melawat Harussani dan keluarga di Ipoh. FOTO Ihsan FB Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
ZULKIFLI (kanan) melawat Harussani dan keluarga di Ipoh. FOTO Ihsan FB Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: "Keadaannya (Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria) bertambah baik dan dia oleh cakap sikit-sikit"

Itu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang melawat Harussani di rumahnya di Ipoh, semalam.

"Semalam saya sempat ziarah Mufti Perak. Alhamdulillah, pada pandangan saya keadaannya bertambah baik.

"Kebetulan datang dia (Harussani) tidur, jadi kejutlah bangun. Tetapi, saya banyak berinteraksi dengan isterinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Kuliah Dhuha dan Serahan Sumbangan Musaadah di Masjid al-Badr, Pulau Pangkor, hari ini.

Menurutnya, dia berharap kesihatan Harussani semakin baik dan dapat meneruskan perjuangan menyampaikan ilmu, risalah Allah SWT, dakwah Islamiah dan fatwa.

"Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya kesihatannya bertambah baik.

"Saya mahu ambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada keluarga Tan Sri (Harussani) yang menyambut baik kedatangan saya semalam dan dapat bertanya khabar serta melihat perkembangannya," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Harussani dilaporkan mengalami serangan angin ahmar dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta, di Ipoh.

Keadaan beliau dilaporkan lemah pada bahagian badan sebelah kanan dan mengalami kesukaran untuk bercakap.

Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Antara jawatan disandang termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.

b>Berita berkaitan

'Bersama doakan kesembuhan Harussani - MB Perak'

'Mufti Perak beransur baik [METROTV]'

'Harussani stabil, dipantau doktor'

'Abah mengadu tidak boleh bangun - Anak Mufti Perak'

'Mufti Perak diserang strok masuk hospital'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 1:50 PM