Noor Hidayah

Pangkor: Kaedah hafazan al-Quran secara harian perlu diperluaskan bagi membolehkan lebih ramai anggota masyarakat berkemampuan menghafaz dan menghayati kalam Allah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kaedah itu antara yang dikemukakan supaya ia boleh dipelbagaikan dan lebih ramai dapat menghafaz al-Quran.

"Saya ada kemukakan cadangan supaya dipelbagaikan bentuk hafazan kerana kalau kita buat secara biasa boleh jadi terhad dan membabitkan jumlah pelajar yang kecil.

"Justeru, mungkin hafazan juga boleh dibuat berbentuk harian, pelajar yang duduk di rumah boleh mengambil sejuzuk masa pada waktu petang sebagai contoh untuk menghafaz al-Quran.

"Jika diberi ruang, mungkin dalam masa yang tertentu mereka juga boleh bersama-sama menghafal al-Quran seperti pelajar tahfiz secara khusus," katanya selepas Kuliah Dhuha dan Serahan Sumbangan Musaadah di Masjid al-Badr, Pulau Pangkor, hari ini.

Menurutnya, tahfiz harian banyak dilaksanakan di negara Arab dan ketika ini hanya beberapa institusi di negara ini menggunakan kaedah itu serta berharap ia dapat diperluaskan seperti program mengaji al-Quran dan Rumah Ngaji.

"Biarlah perkara ini dapat dilaksanakan dengan lebih pesat dan lebih banyak pembabitan oleh sekolah bahkan masjid, madrasah dan pusat tahfiz sebagai nilai tambah kepada pelajar yang mungkin tidak berkesempatan untuk memasuki sistem hafazan secara khusus atau sepenuh masa," katanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 4:28 PM