RONALDO (kiri) akui Ancelotti pengurus berkaliber.
RONALDO (kiri) akui Ancelotti pengurus berkaliber.
Agensi

Madrid: Bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo mendedahkan merindui Carlo Ancelotti dan berharap dapat bermain di bawah kendalian jurulatih Itali itu sebelum menamatkan karier bola sepaknya.

Ronaldo, 30, menjaringkan 48 gol sepanjang 35 perlawanan pada musim 2013-14 selain memenangi Liga Juara-Juara ketika dibimbing Ancelotti sebelum beliau dipecat dan digantikan dengan Rafa Benitez.

Ancelotti yang sudah semusim tidak mengendalikan mana-mana pasukan, dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United untuk menggantikan Louis van Gaal manakala masa depan Ronaldo turut sering menjadi tajuk spekulasi berhubung penghijrahan bersama bekas kelabnya itu.

“Ancelotti sering hadir dengan kejutan. Pada mulanya, saya fikir beliau seorang yang tegas, sombong tapi sebaik mengenalinya, sikapnya bertentangan,” kata Ronaldo.

“Beliau seorang yang baik, itu yang boleh saya katakan. Beliau juga seorang yang suka ambil berat mengenai pemainnya dan juga sensitif. Beliau berbincang dengan kami setiap hari. Bukan saja seorang tapi semua pemain. Beliau sering bergurau dengan kami.

“Saya harap semua pemain berpeluang bermain di bawahnya kerana beliau seorang yang sangat hebat dan berkaliber. Saya rindukan beliau kerana kami menang banyak kejuaraan bersama-sama. Saya harap dapat bermain di bawah kendaliannya sekali lagi. Tapi buat masa ini, saya tidak ada masalah. Saya ada jurulatih baru dan saya gembira bekerja di bawahnya.”

Ronaldo yang hadir di Bernabeu pada 2008, sudah bermain di bawah kendalian lima pengurus dan sebagai pemain, dia berharap seseorang pengurus dapat kekal lebih lama.

“Adakalanya, bukan mudah jika anda asyik bertukar pengurus,” katanya. “Saya tidak berapa suka setiap kali pengurus bertukar atau kelab membeli pemain setiap tahun kerana pada saya, anda perlukan masa untuk mengenali satu sama lain. Hanya dengan cara itu anda dapat meningkatkan permainan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:09 AM