PEUGEOT 308 THP Active.
PEUGEOT 308 THP Active.

Kuala Lumpur: Nasim Sdn Bhd, pengedar kenderaan Peugeot di Malaysia memperluaskan rangkaian kereta hatchback dengan memperkenalkan varian baharu Peugeot 308 THP Active.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, pelancaran varian itu bersesuaian dengan prestasi Peugeot 308 THP yang menjadi satu daripada tiga produk jualan terbaik dengan menyumbangkan sebanyak 14 peratus tahun ini.

“Varian itu didatangkan dengan harga menarik yang dianggarkan RM120,888 dan turut dilengkapi gaya, teknologi dan keselamatan seperti model sebelum ini.

“Dengan enjin 1.6 liter pengecas turbo yang dipadankan transmisi automatik enam kelajuan Teknologi Quickshift, ia mampu dipandu sejauh 800 kilometer dengan setangki bahan api,” katanya.

Peugeot 308 THP Active masih mementingkan ciri keselamatannya selepas dilengkapi enam beg udara, Program Kestabilan Elektronik (ESP) termasuk ABS, EBD, EBA, dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC). Model itu ditawarkan dalam lima warna iaitu Artense Grey, Bianca White, Nera Black, Ruby Red dan Mocha Brown selain jaminan lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 6:56 AM