Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam mendengar penerangan penggunaan Universal Portable Traction Device (UPTD) daripada Pegawai Perubatan Kanan (Orthopaedics) Hospital Queen Elizabeth II, Dr Tejinderpal Singh Bhullar (kanan) ketika Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia 2015.   - Foto SURIANIE MOHD HANIF

Oleh Nor ' Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur : Kementerian Kesihatan Malaysia merangka program transformasi perkhidmatan kesihatan berasaskan teknologi komunikasi maklumat (ICT) untuk menyimpan semua rekod pesakit dalam satu sistem.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kaedah itu membolehkan maklumat pesakit dapat diakses di semua hospital kerajaan di negara ini.

Menurutnya, ia dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan berharap sistem berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Rekod itu akan mengandungi sejarah penyakit pesakit, rawatan perubatan dan rundingan yang dibuat di antara doktor dan pakar-pakar daripada satu hospital dengan hospital yang lain.

“Semua maklumat boleh diakses hanya dengan menggunakan kad pengenalan pesakit dan rawatan seterusnya boleh dilakukan dalam proses lebih mudah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia 2015 di Hotel Istana di sini, hari ini.

Menurut Subramaniam, kaedah itu sudah digunakan pada masa ini tetapi tidak secara menyeluruh dan sekiranya berjaya, akan diperluas ke hospital swasta.

Jelasnya, ia antara transformasi Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi ICT seperti terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 10:12 PM