KEADAAN sebahagian 33 kenderaan yang terbabit dalam satu kemalangan ketika kabus tebal di Shanxi, China.
KEADAAN sebahagian 33 kenderaan yang terbabit dalam satu kemalangan ketika kabus tebal di Shanxi, China.

Shanxi (China): Kabus tebal yang menyelubungi Lebuh Raya Taichang dekat Taiyuan di sini menjadi punca kemalangan 33 kenderaan yang menyebabkan sekurangnya enam orang maut.

Kemalangan pada pagi Selasa lalu itu dilaporkan berpunca daripada keadaan cuaca ekstrim apabila pemandu mampu melihat beberapa meter di hadapan kenderaan mereka.

Rempuhan yang mewujudkan kesan domino itu menyebabkan empat mangsa parah dan beberapa lagi cedera.

Pasukan penyelamat yang dikejarkan ke lebuh raya yang terletak di tengah China itu terpaksa mengalihkan timbunan kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Beberapa minggu lalu, bahagian utara China berdepan keadaan cuaca teruk membabitkan kabut, jerebu dan kabus tebal.

Sejak 7 Disember lalu, bandar di Shanxi berdepan jerebu teruk sehingga jabatan meteorologi Taiyuan, Yangquan dan Yuncheng mengeluarkan amaran merah.

Pada penghujung November pula, kemalangan membabitkan 44 kereta dengan tiga maut dan tujuh cedera di lebuh raya antara Yuncheng dan Houma turut disebabkan kabut tebal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 7:03 AM