RAKAMAN dramatik daripada CCTV dan media sosial televisyen negeri menunjukkan banyak kereta berlanggar secara tidak sengaja di lebuh raya. FOTO Yangtze Evening Post
RAKAMAN dramatik daripada CCTV dan media sosial televisyen negeri menunjukkan banyak kereta berlanggar secara tidak sengaja di lebuh raya. FOTO Yangtze Evening Post
Reuters

Beijing: Beberapa orang cedera selepas lebih 100 kereta bertembung antara satu sama lain di kawasan berais di lebuh raya di bandar Suzhou, China, baru-baru ini.

Kemalangan itu disebabkan oleh keadaan cuaca ekstrem.

Rakaman dramatik daripada kamera litar tertutup (CCTV) dan media sosial televisyen negeri menunjukkan banyak kereta berlanggar secara tidak sengaja di lebuh raya.

Kaca dan serpihan boleh dilihat bertaburan di merata tempat.

Polis trafik Taman Perindustrian Suzhou melaporkan di akaun media sosial WeChat berkata, tiga orang cedera dan dimasukkan ke hospital, manakala enam mengalami cedera ringan.

Trafik jalan raya berjaya dipulihkan dan punca kemalangan sedang disiasat, kata polis.

Sejak beberapa minggu lalu, sebahagian besar China dilanda cuaca buruk, ribut salji dan hujan berais hingga menjejaskan pengangkutan pada masa berjuta-juta orang melakukan perjalanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Pada minggu ini, kerajaan meningkatkan tindak balas kecemasan untuk suhu beku dan juga memulakan beberapa rancangan untuk aliran pengangkutan, bekalan dan elektrik di wilayah dan bandar termasuk Beijing, Hebei, Shanxi, Anhui dan Hubei, lapor berita Xinhua.

Pentadbiran Meteorologi China mengekalkan amaran tinggi untuk pembekuan dan suhu rendah di beberapa kawasan tengah dan selatan.

Menurut data amaran cuaca di VariFlight, 34 daripada lebih 260 lapangan terbang di negara ini sudah mengeluarkan amaran kabus dan salji, lapor CCTV.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 11:59 AM