FEROZ (kanan) bersama wartawan membuat pizza.
FEROZ (kanan) bersama wartawan membuat pizza.
Oleh Hafiz Ithnin


Batang Kali: MFZ Maju Bersatu Sdn Bhd (MFZ Maju Bersatu) syarikat prafrancaisor, jenama piza L’Pizz Pizza mengunjurkan nilai jualan RM2.5 juta tahun depan berbanding RM1 juta tahun ini bersandarkan kepada aktiviti peluasan aktiviti perniagaan dan penerokaan pasaran asing.

MFZ Maju Bersatu ketika ini mempunyai enam cawangan yang diuruskan oleh syarikatnya sendiri dan 13 cawangan difrancaiskan kepada usahawan tempatan yang beroperasi antaranya di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Pengasasnya, Feroz Zainal berkata, pihaknya turut memperkenalkan konsep perniagaan menggunakan trak makanan yang membabitkan dua unit trak beroperasi di Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, jumlah trak makanan itu akan ditambah kepada lapan buah pada tahun depan dan pihaknya dalam proses perbincangan dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan lesen khas bagi perniagaan trak makanan bergerak.

“Menerusi pengenalan trak makanan ini, kami jangkakan ia dapat meluaskan jenama L’Pizz Pizza ke seluruh negara memandangkan kini hanya kawasan selatan belum diterokai sepenuhnya.

“Syarikat juga berhasrat menerokai pasaran Indonesia pada tahun depan sebagai lokasi pasaran asing pertama L’Pizz Pizza,” katanya pada taklimat media.

MFZ Maju Bersatu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadi francaisi L’Pizz Pizza dengan modal permulaan bermula dari RM10,600.

Katanya, buat masa ini terdapat 19 cawangan L’Pizz Pizza yang mana enam daripadanya diuruskan oleh MFZ Maju Bersatu dan selebihnya dilaksanakan oleh usahawan francaisi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 6:47 AM