NAJIB bersama Ahli Jawatankuasa ECER dan wakil pelabur daripada lapan syarikat di bawah TERAJU.
NAJIB bersama Ahli Jawatankuasa ECER dan wakil pelabur daripada lapan syarikat di bawah TERAJU.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mengumumkan menerima komitmen pelaburan sebanyak RM3.57 bilion bagi suku keempat tahun ini.

Pelabur berkenaan terdiri daripada 16 syarikat tempatan dengan lapan daripadanya adalah syarikat yang memperoleh manfaat di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Majlis pertukaran dan penerimaan dokumen disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Issace Jebasingam John di Dewan Bankuet Parlimen, di sini, semalam.

Turut hadir semua menteri besar dalam wilayah ekonomi itu iaitu Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

ECERDC dalam kenyataannya berkata, kerajaan melalui agensi berkenaan menjalinkan usahasama dengan kumpulan perbankan terbesar negara iaitu Maybank/Maybank Islamic bagi menyediakan pembiayaan kewangan untuk usahawan tempatan di wilayah ekonomi terbabit.

Menurut kenyataan itu, di bawah Skim Keusahawanan ECER-Maybank tersebut sebanyak RM10 juta diperuntukkan sebagai dana permulaan bagi menampung kadar faedah atau keuntungan pinjaman yang dikenakan.

“Maybank akan menyediakan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi pembiayaan perniagaan yang kan memberi manfaat kepada 2,000 usahawan mikro selain pengusaha kecil dan sederhana di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing menjelang akhir tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, pelaburan ECER pada tahun ini meningkat kepada RM72.26 bilion berbanding tahun lalu RM55.8 bilion.

Majlis pembangunan wilayah itu mengunjurkan pelaburan RM110 bilion pada tahun 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:06 AM