PERMANDANGAN Menara Kuantan 188, bersebelahan Sungai Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang
PERMANDANGAN Menara Kuantan 188, bersebelahan Sungai Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang

Kuantan: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM13.4 bilion untuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tahun lalu, melebihi sasaran awalnya sebanyak RM12 bilion.

ECERDC dalam kenyataan berkata, angka itu mencecah rekod baharu sebagai pencapaian tahunan tertinggi di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) sejak 2018.

Ini bermakna ia berpotensi untuk mewujudkan lebih 11,000 pekerjaan dan lebih 680 peluang keusahawanan untuk rakyat, sekali gus memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia, katanya.

"Saya gembira kerana ECERDC mencapai banyak perkara dari segi menarik pelaburan baharu, pelaksanaan projek serta penghasilan peluang pekerjaan dan keusahawanan.

"Hasilnya memperlihatkan sokongan kerajaan dalam projek infrastruktur strategik sementara perluasan insentif cukai berkesan dalam meningkatkan daya saing wilayah sebagai destinasi pelaburan pilihan," kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis ECERDC yang diadakan di Kompleks Bandaraya Kuantan di sini, semalam.

Hadir dalam mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

ECER merealisasikan pelaburan bernilai RM4.7 bilion pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 7:00 AM