Kump BigBang menang besar di Anugerah Muzik Asia Mnet (MAMA) 2015 di Asia-World Expo di Hong Kong, malam tadi. - Foto Twitter
Kump BigBang menang besar di Anugerah Muzik Asia Mnet (MAMA) 2015 di Asia-World Expo di Hong Kong, malam tadi. - Foto Twitter
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Seperti dijangka kumpulan K-Pop popular BigBang menang besar di Anugerah Muzik Asia Mnet (MAMA) 2015 di Asia-World Expo, Hong Kong, malam tadi.

BigBang mengungguli kategori Artis Terbaik selain lagu mereka Bang Bang Bang memenangi kategori Lagu Terbaik. Tidak ketinggalan kumpulan itu turut menang kategori Muzik Video Terbaik dan Artis Pilihan Dunia - iQiYi.

Demikian juga kumpulan EXO juga unggul apabila membawa pulang trofi kategori Album Terbaik, Kumpulan Lelaki Terbaik, Pilihan Peminat Global Sina Weibo - Lelaki, dan Stail Terbaik Asia.

MAMA adalah acara pengiktirafan muzik berprestij Korea Selatan yang turut mengiktiraf artis terbaik dari negara Asia lain dan edisi kali ini menjadi tahun keenam acara berkenaan diadakan di luar Korea Selatan.

Pada majlis berkenaan, itu, BigBang turut tampil membuat persembahan menerusi lagu Bang Bang Bang, Bae Bae, dan Loser.

Turut menghangatkan pentas MAMA2015 ialah SHINee, Psy, EXO, Taeyeon, GOT7, iKON, BTS dan ramai lagi namun paling mencuri perhatian ialah kumpulan 2NE1 yang membuat kejutan.

Awalnya, hanya CL seorang disenaraikan membuat persembaha namun ada ura-ura mengatakan peminat terdengar mereka melakukan sesi raptai sebelum acara sebenar.

Mempersembahkan lagu Fire dan I Am The Best, kemunculan anggotanya Park Bom yang sedang berehat dari nyanyian menggamatkan pentas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 1:09 AM