Anyonghaseyo!!! Hanya menghitung hari kehangatan acara berprestij Asia, Anugerah Muzik Mnet Asia 2014 (MAMA2014) semestinya kini semakin dirasai dan peminat masing-masing berlumba-lumba mengundi artis kegemaran mereka.

Tidak dinafikan acara berkenaan sememangnya antara yang cukup ditunggu-tunggu dalam kalendar hiburan Asia setiap tahun. Bukan saja menobatkan artis Korea Selatan bahkan artis negara luar sekitar Asia turut diiktiraf.

Begitulah keadaannya di laman web rasmi MAMA2014 yang memancarkan perkembangan terkini undian calon untuk setiap kategori. Seperti dijangka, artis daripada agensi gergasi seperti YG Entertainment dan S.M. Entertainment jelas antara yang bakal mendominasi.

Ia termasuklah kumpulan idol baru naungan agensi YG Entertainment iaitu Winner mendahului undian kategori Artis Baru Terbaik, Tae Yang (Artis Lelaki Terbaik dan Persembahan Vokal Lelaki Terbaik) dan 2NE1 (Kumpulan Wanita Terbaik).

Daripada segi undian di laman web pula, ternyata peminat dari China paling ramai mengundi dengan peratusan 42.7 peratus diikuti negara sekitar Asia Tenggara (29.8 peratus). Antara penyumbang undi terbanyak yang lain juga termasuklah Amerika Syarikat, Jepun, dan Korea Selatan sendiri.

Terbaru, duo yang cukup disegani muziknya, tidak lain tidak bukan G-Dragon dan Tae Yang juga mengesahkan bakal membuat persembahan lagu terbaru mereka Good Boy pada acara kemuncak itu nanti.

Baru tiga hari di YouTube, jumlah tontonan video muzik rasmi lagu berkenaan jelas luar biasa apabila sehingga semalam, sudah lebih empat juta yang menontonnya. MAMA2014 bakal berlangsung pada 3 Disember ini di Hong Kong.

Baiklah Hallyu! minggu ini dibuka dengan kisah anggota kumpulan Lovelyz iaitu Jin yang baru-baru ini secara tiba-tiba dikejarkan ke hospital selepas membuat persembahan di rancangan Music Bank.

Menurut wakil agensinya dari Woollim Entertainment, sebenarnya penyanyi berkenaan sudah tidak merasa selesa sebelum naik ke pentas membuat persembahan itu.

"Jin mengalami sakit perut yang agak merungsingkan sebelum tampil di pentas Music Bank, namun berkeras masih mahu meneruskan persembahan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, nampaknya keadaan Jin semakin teruk sewaktu melakukan persembahan membabitkan nyanyian serta tarian itu. Bahkan, penonton turut menyedari ada sesuatu tidak kena pada penyanyi berkenaan.

Meskipun dia cuba sedaya-upaya menyembunyi kesakitan itu, beberapa kali wajahnya dilihat cukup tidak selesa di skrin.

"Dia nampaknya berjaya menghabiskan persembahan itu, namun sewaktu siaran jelas ada sesuatu yang cukup tidak kena. Dia nyata mengalami kesakitan yang teramat dan sebaik ke belakang pentas dia terus dikejarkan ke hospital," kata wakil agensi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:00 AM