Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: Usul Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak 2015 diluluskan Dewan Rakyat dengan undian belah bahagian selepas 130 ahli parlimen bersetuju manakala 72 lagi tidak bersetuju.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin berkata keputusan itu dibuat memandangkan jumlah yang bersetuju melebihi 112 orang.

Bahagian pilihan raya yang baru ialah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Ketika membentangkan usul, Najib berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan jumlah Bahagian Pilihan Raya bagi negeri Sarawak ditambah 11 bahagian menjadikan jumlah keseluruhan 82 bahagian.

Najib berkata, pertambahan bahagian pilihan raya ini akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk tempatan di Sarawak khususnya penduduk dalam kawasan bahagian pilihan raya negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:05 PM