HELIKOPTER EC725 AP dari Skuadron 5 Pangkalan Udara Labuan melengkapkan misi penghantaran bekalan makanan ke pedalaman Sarawak hari ini sejak dilancarkan Ahad lalu. FOTO ihsan ATM
HELIKOPTER EC725 AP dari Skuadron 5 Pangkalan Udara Labuan melengkapkan misi penghantaran bekalan makanan ke pedalaman Sarawak hari ini sejak dilancarkan Ahad lalu. FOTO ihsan ATM
Melvin Joni


TIGA puluh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak sudah mengagihkan bantuan bekalan makanan ke kawasan masing-masing sejak semalam dalam menghadapi krisis Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, DUN terbabit adalah Tanjung Datu, Pantai Damai, Asajaya, Serembu, Tebedu, Bukit Semuja, Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau, Bukit Begunan dan Bukit Saban.

Selain itu, Krian, Meradong, Meluan, Dalat, Balingian, Murum, Jepak, Kemena, Bekenu, Lambir, Marudi, Telang Usan, Mulu, Bukit Kota, Tupong, Samariang, Gedong, Bukit Sari dan Ba Kelalan.

"Sejak awal, saya menekankan bahawa kita mesti memastikan bahawa terdapat makanan di atas meja untuk semua orang.

"Ia adalah kewajipan kita untuk mengenal pasti kumpulan sasaran ini dan membantu mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Covid-19 berkata, tiada unsur politik perlu dikaitkan dalam agihan bantuan berkenaan.

"Setiap orang yang layak dibantu akan dibantu tanpa mengira kaum, agama atau politik," katanya.

Menurutnya, pengedaran bantuan makanan kepada kumpulan sasaran menghadapi banyak cabaran disebabkan faktor geografi Sarawak namun kerajaan sangat komited menyampaikan bantuan makanan kepada mereka dengan segera.

Susulan itu, beliau yang juga menjalani kuarantin di rumah ketika ini, mengakui sebahagian daripada mereka mungkin terlepas secara tidak sengaja.

Sehubungan itu, katanya sekiranya ada badan bukan kerajaan (NGO) atau individu mempunyai maklumat mengenai kumpulan sasaran yang terlepas daripada menerima bantuan diminta memberi maklumat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Bahagian atau Daerah yang dipengerusikan oleh Residen dan Pegawai Daerah di kawasan masing-masing supaya tindakan segera dapat diambil.

"Dana untuk program bantuan makanan ini disalurkan kepada JPB Bahagian atau Daerah masing-masing.

"Perolehan barangan makanan di bawah program akan dibuat dengan mematuhi prosedur kewangan yang diperlukan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 5:56 PM