Dr Annuar Rapaee.
Dr Annuar Rapaee.
Oleh Mohd Roji Kawi


Sibu: Masalah liputan Internet di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka memerlukan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dilakukan secara bersemuka khususnya di rumah panjang.

Sehubungan itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Nangka, Dr Annuar Rapaee akan merayu kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (R.O) kawasan itu bagi memberi kelonggaran kepadanya untuk mengadakan kempen bersemuka.

Katanya, DUN Nangka tidak termasuk di dalam senarai 64 kawasan yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan kempen secara fizikal kerana tiada capaian luas Internet.

Katanya, SPR mungkin menyangka semua kawasan DUN Nangka berada di bandar, namun hakikatnya masih banyak lagi kawasan yang berada di luar bandar dan menghadapi masalah liputan Internet yang tidak stabil.

"Sebab itu saya akan menulis surat kepada R.O untuk meminta SPR meneliti semula larangan berkempen secara bersemuka bagi DUN Nangka.

"Terdapat 34 rumah panjang di dalam kawasan DUN Nangka dengan sebahagian daripadanya berada di luar bandar yang capaian Internet tidak stabil. SPR harus melihat perkara itu," katanya ketika ditemui di Pusat Media Jabatan Penerangan di sini, hari ini.

Dr Annuar berkata, walaupun beliau kerap ke rumah panjang sebelum ini, namun untuk berkempen ketika pilihan raya beliau perlu berjumpa lagi dengan pengundi di kawasan terbabit.

"Memang benar, selepas mendapati kawasan DUN Nangka tidak tersenarai di dalam kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti kempen bersemuka, saya mengambil keputusan untuk menggunakan media sosial sepenuhnya.

"Tetapi selepas diteliti, banyak lagi kawasan yang capaian Internetnya kurang stabil dan saya rasakan kempen bersemuka perlu untuk saya mendekati pengundi bagi menjelaskan apa yang parti tawarkan jika diberi mandat semula," katanya.

Ahad lalu, SPR menerusi laman sesawang rasminya memaklumkan penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen PRM Sarawak ke-12 hanya dibenarkan di 64 kawasan DUN yang tidak mempunyai capaian Internet yang tinggi.

Antara kawasan yang dibenarkan untuk kempen secara fizikal itu adalah dua DUN yang berjiran dengan Nangka iaitu Bawang Assan dan Dudong.

Sebanyak 62 lagi kawasan yang liputan internet lemah ialah Opar, Tasik Biru, Tanjong Datu, Asajaya, Muara Tuang, Stakan, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup, Bukit Semuja, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong, Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Balai Ringin, Bukit Begunan dan Batang Ai.

Turut dibenarkan kawasan Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng, Repok, Meradong, Pakan, Meluan, Ngemah, Machan, Dalat, Tellian, Balingian, Tamin, Kakus, Pelagus, Katibas dan Bukit Goram.

Kawasan lain ialah Baleh, Belaga, Murum, Jepak, Kemena, Samalaju, Bekenu, Lambir, Marudi, Telang Usan, Mulu, Bukit Kota, Batu Danau, Ba'kelalan dan Bukit Sari.

Antara prosedur operasi standard (SOP) bagi penganjuran ceramah dan syarahan secara fizikal ialah kehadiran peserta hendaklah 50 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang dalam satu-satu masa dan peserta yang menghadiri ceramah dihadkan kepada penduduk kampung atau rumah panjang itu sahaja.

Selain itu, parti-parti atau calon-calon yang bertanding bertanggungjawab untuk memastikan penduduk luar dari kampung atau rumah panjang tidak menghadiri ceramah atau syarahan yang dianjurkan.

Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ceramah atau syarahan diadakan dengan tarikh, masa dan tempat hendaklah dinyatakan dalam permit untuk memudahkan pihak polis membuat pemantauan

Tempoh dua jam diberikan bagi setiap sesi ceramah fizikal dan tidak melebihi 10 malam, dengan penganjuran perlu dilakukan di lokasi tertutup seperti dewan, balai raya atau ruai serta tiada sebarang bentuk hiburan semasa berkempen.

SOP lain termasuk memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sepanjang masa, membenarkan hanya individu lengkap vaksin hadir dan menyediakan kaunter saringan kesihatan.

#kw PRN Sarawak, kempen, rayu, SPR, bersemuka, Internet, DUN Nangka, Sibu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 1:31 PM