Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semalam berkata, dakwaan mengaitkan sebaran luas Swap Mungkir Kredit (CDS) dengan syarikat itu sebagai ‘komentar tidak berasas’.

“Perlu ditekankan bahawa CDS adalah instrumen kewangan derivatif yang nilainya ditentukan pendagang menerusi permintaan dan penawaran dan tidak semestinya menggambarkan fakta atau asas ekonomi,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Dalam hubungan ini, 1MDB berkata, sebaran CDS adalah petunjuk yang berbeza kepada penarafan kredit A-/A3 Malaysia, mencerminkan keupayaan kukuh kerajaan untuk membayar obligasi hutangnya dengan kebarangkalian kemungkiran rendah.

1MDB membuat kenyataan itu berikutan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mengaitkan 1MDB untuk peluasan sebaran CDS kerajaan.

Syarikat dana negara berkata, sebaliknya pelan rasionalisasi 1MDB dilaksanakan berjalan seperti dirancang.

Asas pelan yang antara lain membabitkan ‘hutang untuk pertukaran aset’ dengan Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC), jualan ekuiti dalam Edra Energy dan Bandar Malaysia, penjualan tanah induk di Tun Razak Exchange (TRX) serta pelupusan aset bukan teras.

1MDB berkata, hasil pelan rasionalisasi itu dapat mengurangkan dengan ketara hutangnya ke tahap boleh diurus menjelang suku keempat 2015.

1MDB menekankan fakta utama berkaitan kemajuan rasionalisasi dan tahun ini ia berjaya menjual lebih RM1 bilion tanah di TRX.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:02 AM