Kajian mendapati tempe daripada kacang soya mempunyai jumlah pe­nyerapan kalsium yang tinggi setanding susu.

Ini kerana tempe mengandungi isoflavon iaitu sejenis antioksidan yang mampu membantu memerangi kerosakan sel, mengurangkan simptom menopaus serta meningkatkan jisim tulang khusus pada golo­ngan wanita.

Antioksida isoflavon memberi banyak manfaat untuk wanita dan boleh membantu mencegah risiko penyakit kardiovaskular, kanser dan mengurangkan gejala selaran kepanasan yang disebabkan perubahan hormon dalam kalangan wanita yang mengalami menopaus.

Selain itu, tempe juga mengandungi pelbagai unsur yang berkhasiat seperti karbohidrat, lemak, protein, serat, vitamin, enzim, daidzein, genisten serta komponen antibakteria yang bermanfaat untuk kesihatan.

Persatuan Jantung Amerika berkata, amalan mengambil 25 hingga 50 gram kacang soya (termasuk tempe) boleh membantu merendahkan tahap kolesterol sebanyak lapan peratus. Ia secara

tidak langsung mengurangkan risiko diserang penyakit jantung.

Malah, banyak kajian mendapati produk kacang soya boleh membantu mencegah serangan strok, kanser (terutama kanser payudara), osteoporosis dan mengurangkan gejala selaran kepanasan pada wanita menopaus.

Tempe juga kaya de­ngan sumber serat tidak larut yang akan menambah komposisi pada najis dan membantu kelancaran perjalanan bahan kumuh dalam usus (lawas). Menurut maklumat daripada Mayo Clinic, diet yang kaya de­ngan serat membantu meningkatkan kesihatan sistem pencernaan. Memasukkan tempe dalam sajian harian membantu mencegah kanser usus, sembelit dan buasir.

Proses penapaian tempe berlaku dengan kehadiran fungus Rhizopus oligosporus.

Jalinan berwarna putih yang kita lihat pada permukaan tempe itu sebenarnya adalah jaringan fungus ini.

Jaringan berwarna putih ini menghasilkan agen antibiotik semula jadi untuk mencegah jangkitan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:00 AM