SUSPEK ditahan dan badan dilumuri dengan lumpur di Kampung Tanjung Logpond, Tawau. FOTO ihsan Polis
SUSPEK ditahan dan badan dilumuri dengan lumpur di Kampung Tanjung Logpond, Tawau. FOTO ihsan Polis
Norasikin Daineh

Tawau: Seorang penagih dadah nekad mengharungi lumpur bagi mengelak daripada dicekup polis dalam Op Tapis di Kampung Logpond, Tawau, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 22 fahun terbabit berjaya ditahan selepas seorang anggota polis turut terjun di kawasan lumpur terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika operasi dilakukan, anggota polis berpangkat Koperal terpaksa 'berenang' untuk menangkap suspek.

"Sebelum tangkapan dilakukan, suspek terlebih dahulu didapati membuang sesuatu bungkusan dari atas jambatan sebelum bertindak terjun ke lumpur berkenaan.

"Akibat kejadian itu suspek dan anggota polis itu turut bermandi lumpur sebelum berjaya menemui empat bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi dadah jenis syabu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadil berkata, suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan hasil pemeriksaan ujian air kencing didapati positif dadah.

"Lelaki terbabit kini ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 3:10 PM