MERCUN dan bunga api yang dirampas. FOTO Juwan Riduan
MERCUN dan bunga api yang dirampas. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


PENARIK kereta ditahan polis bersama syabu seberat 6.06 gram dan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disorok di dalam bonet kereta.

Lelaki tempatan berusia 32 tahun itu ditahan di belakang pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), jam 9.15 malam, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, ketika sepasukan polis menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mereka menahan Perodua Axia dipandu seorang lelaki.

"Pemeriksaan pada kereta dipandu suspek menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di bonet kereta yang disorok di dalam tong cat.

"Seterusnya pemeriksaan ke atas suspek menemui satu paket plastik mengandungi serbuk dan ketulan jernih disyaki syabu di poket seluar," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, anggaran berat kasar syabu yang dirampas 6.06 gram bernilai RM700.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut termasuk mengesan sumber dadah yang diperoleh suspek.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis syabu," katanya.

Menurutnya, suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 10:25 AM