AFP

Madrid: Barcelona kekal mendahului La Liga dengan empat mata awal pagi semalam hasil aksi hebat Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez untuk menewaskan Real Sociedad 4-0.

Atletico Madrid pula terus memberi tekanan kepada juara Eropah itu menerusi gol tunggal Antoine Griezmann untuk kemenangan 1-0 ke atas Espanyol.

Messi tampil dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam tempoh dua bulan selepas pulih daripada kerosakan ligamen lutut.

Namun bintang Argentina itu dibayangi dua rakan penyerang apabila kedua-duanya menyambut dua hantaran Dani Alves untuk meletakkan Barca di depan sebelum tamat separuh masa.

Neymar kemudiannya menambah gol kedua tidak lama selepas separuh masa kedua bersambung sebelum membantu Messi menjaringkan gol pertama sejak September lalu pada masa kecederaan.

“Mereka sering mencari satu sama lain dan apabila semuanya menjaringkan gol, semua orang gembira,” kata Dani Alves mengenai ketiga-tiga penyerang Barca.

“Jika menang, siapa yang menjaringkan gol atau merancangnya tidak penting. Jika kami terus bermain dengan baik, semua orang gembira.”

Atletico sekali lagi terpaksa bergantung kepada gol tunggal untuk kemenangan biarpun mempamerkan aksi lebih meyakinkan selepas Griezmann menyambut hantaran Oliver Torres pada minit ketiga untuk gol ke-10 peribadi musim ini.

Skuad tuan rumah berdepan kekecewaan apabila pemain tengah berpengaruh Tiago diusung keluar apabila kaki kanannya patah pada pertengahan babak pertama.

Celta Vigo berkongsi kedudukan dengan Real Madrid di tempat ketiga hasil jaringan kemenangan Nolito lima minit sebelum tamat untuk menewaskan Sporting Gijon 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:09 AM