KELUARGA ‘pengantin perempuan’ bermain alatan muzik di rumah ‘pengantin lelaki.’
KELUARGA ‘pengantin perempuan’ bermain alatan muzik di rumah ‘pengantin lelaki.’
‘PENGANTIN’ diraikan sama seperti orang biasa.
‘PENGANTIN’ diraikan sama seperti orang biasa.
AMALAN itu dipercayai memastikan si mati tenang.
AMALAN itu dipercayai memastikan si mati tenang.
MAJLIS diakhiri dengan acara makan pagi, keesokannya.
MAJLIS diakhiri dengan acara makan pagi, keesokannya.

Di mana saja di seluruh dunia, perkahwinan sesuatu yang menggembirakan dan diraikan seisi keluarga.

Namun bagi masyarakat Netbadi di India, majlis perkahwinan ada kalanya turut diselubungi sedikit kesedihan kerana sebenarnya diadakan ibu bapa untuk anak mereka yang sudah lama meninggal dunia.

Dalam upacara yang agak pelik, majlis perkahwinan diadakan mengikut amalan tradisi Hindu bagi memperingati ulang tahun ke-18 kematian anak kesayangan yang digantikan dengan patung.

Ibu bapa yang kehilangan anak pada usia kecil akan mengatur majlis perkahwinan untuk anak berkenaan dan pada hari ditetapkan, semua ahli keluarga berhimpun meraikannya.

Bezanya, pengantin perempuan dan lelaki cuma anak patung.

Rameshwar dan isterinya Veena Devi mengadakan majlis seumpama itu untuk anak perempuan mereka Pooja. Pooja meninggal dunia akibat sakit pada usia dua tahun, 18 tahun lalu.

Patung mewakili Pooja yang sepatutnya berusia 20 tahun hari ini jika masih hidup ‘dikahwinkan’ dengan patung mewakili Jogendra, yang ibu bapanya berasal dari kampung bersebelahan.

Sebagai sebahagian daripada upacara itu, rombo­ngan 30 keluarga dan rakan ‘pengantin perempuan’ tiba di rumah ‘pengantin lelaki’ sebelum mereka bertukar-tukar kalungan bunga dan dikahwinkan mengikut adat Hindu.

Acara itu diikuti majlis tarian dan sarapan pagi.

Wartawan, Raj Kumar Sharma, 56, berkata: “Ma­syarakat ini amat menghargai hari perkahwinan anak-anak. Memang ia antara acara paling penting sepanjang hidup mereka.

“Bagi yang pernah kehilangan anak, mereka juga tidak mahu ketinggalan merasai pengalaman itu. Walaupun yang kita nampak cuma anak patung, bagi ibu bapa mereka itulah anak mereka sebenarnya.”

Seorang lagi bernama Pitambar menyokong pandangan Raj Kumar itu.

“Memang menjadi adat kami dari masyarakat Netbadi untuk mengahwinkan anak yang sudah meninggal dunia ketika kecil selepas ulang tahun ke-18 kematian mereka.

“Ini bagi memastikan mereka aman. Jika tidak dibimbangi keluarga ditimpa nasib malang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:01 AM