Larut: Vape perlu memenuhi prosedur dan kriteria yang akan ditetapkan sekiranya mahu dibenarkan dijual di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata ketika ini Malaysia tidak mempunyai standard boleh diguna pakai terhdap penggunaan vape dan perisa cecairnya.

Katanya, keputusan mengenai kajian terhadap penggunaan vape akan diumumkan tidak lama lagi.

“Penggunaan peranti dan perisa cecair rokok elektronik itu mesti menepati standard yang telah diguna pakai oleh pihak antarabangsa.

“Apapun keputusan dibuat nanti adalah keputusan yang boleh diterima oleh semua pihak dan diharap tidak akan timbul isu lagi pada masa akan datang,” katanya selepas merasmikan Program Majlis Berkhatan Perdana Parlimen Larut di Hospital Selama, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, usaha memperkenalkan standard khas itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan dan Sirim Bhd.

“Dari segi cecair vape yang akan digunakan nanti, ia perlu menepati kandungan paras nikotin sama seperti kandungan nikotin yang dibenarkan dalam rokok kerana ada pihak yang mengatakan vape boleh merosakkan kesihatan sementara pihak lain mengatakan ia boleh mengurangkan tabiat merokok.

“Jadi, apabila kajian itu telah selesai sehingga analisis yang dilakukan benar-benar saintifik, baru kita keluarkan satu peraturan dari segi penggunaan dan penjualan yang akan diumumkan nanti,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:29 PM