WAN Hashim berjaya menghabiskan kayuhan solonya sejauh 2,277 km mengelilingi Semenanjung Malaysia dan membuat rekod kelima dalam Malaysia Book Of Record. FOTO Fathil Asri
WAN Hashim berjaya menghabiskan kayuhan solonya sejauh 2,277 km mengelilingi Semenanjung Malaysia dan membuat rekod kelima dalam Malaysia Book Of Record. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi


PENGAYUH basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 73, menamatkan misi kayuhan sejauh 2,277 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung Malaysia, kira-kira 5.15 petang hari ini.

Ketibaannya disambut oleh ibu, Che Hasmah Ahmad, 88, dan isterinya, Faridah Daud, 68, serta anak dan cucu di hadapan kediamannya yang terletak di Jalan Telipot di Kota Bharu.

Terdahulu Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi menyampaikan plak penghargaan kepada Wan Hashim.

Turut hadir, Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Kelantan, Zabidi Ishar.

Wan Hashim atau lebih dikenali sebagai Pak Wan berkata, dia menamatkan kayuhan ini lebih awal sehari berbanding sasaran asal, selama 15 hari.

“Mengikut perancangan asal, saya perlu membuat kayuhan antara 150 km hingga 160 km sehari, namun pada hari terakhir, saya meningkatkan jarak kayuhan sehingga 170 km untuk menamatkan kayuhan lebih awal.

“Untuk misi kali ini, saya terpaksa berkayuh sehingga tengah malam untuk sampai ke destinasi yang dijadualkan dan ada ketikanya hanya tidur di surau dan kedai makan beralaskan kotak untuk melepaskan penat,” katanya.

WAN Hashim disambut isterinya Faridah, ibunya Hasmah (kiri) dan ahli keluarga. FOTO Fathil Asri
WAN Hashim disambut isterinya Faridah, ibunya Hasmah (kiri) dan ahli keluarga. FOTO Fathil Asri

Bapa kepada enam anak, 20 cucu dan seorang cicit berkata, untuk kayuhan kali ini, dia turut membawa misi membantu Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) dalam mendidik masyarakat untuk mendapatkan berita yang sahih daripada media yang diiktiraf.

“Pak Wan harap dengan misi kayuhan ini dapat memberi beri impak positif kepada masyarakat dan juga kepada diri.

“KEMUDI banyak menolong sepanjang misi Pak Wan memburu pelbagai rekod Malaysia Book Of Records (MBOR),” katanya

Berkongsi pengalaman sepanjang misi kayuhan kelimanya ini, Pak Wan berkata, antara yang memberi cabaran kepadanya adalah ketika melalui jalan dari Endau ke Mersing, Johor sejauh 40 km.

“Jalan di sepanjang kawasan itu sangat sunyi, gelap serta berbukit bukau dan dalam masa sama, terdapat banyak lori yang lalu lalang membuatkan saya lebih berhati-hati kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.

“Ketika berhadapan dengan situasi seperti ini, Pak Wan perlu bersiap sedia dari segi mental.

“Alhamdulillah segala cabaran sepanjang kayuhan dapat dilalui dan rasa sangat bersyukur serta gembira kerana kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya.

Pak Wan mencipta rekod MBOR kali pertama pada 2014 sebagai lelaki tertua yang berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 km.

Seterusnya, beliau mencatatkan nama sekali lagi dalam MBOR pada 2015, 2017 dan tahun lalu dengan jarak paling jauh 5,319 km bagi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 9:42 PM