TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Wanita dikenali Mokbiey yang dikaitkan dengan video viral pergaduhan wanita dalam kejadian di Wakaf Mek Zainab bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas tuduhan mencederakan dan mencabul kehormatan mangsa.

Tertuduh, Putri Nur Shasha Shamrila Zamri, 22, yang juga ibu tunggal bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.

Mengikut pertuduhan tertuduh bersama rakannnya yang sudah dituduh didakwa mencederakan mangsa, Nur Azzlaila Suzzana Ab Halim, 24, dengan menggunakan kaki dan tangan sehingga mendatangkan kecederaan di kawasan rumah di Wakaf Mek Zainab, di sini, pada 10 pagi, 15 Oktober lalu.

Kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, dia bersama-sama seorang yang sudah dituduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan mangsa yang sama, pada masa, tarikh dan kawasan yang sama.

Kesalahan berkenaan, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapakan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 1:10 PM