Dzafri Sham  (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Datuk Zulkifli Jantan (tiga dari kiri).
Dzafri Sham (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Datuk Zulkifli Jantan (tiga dari kiri).
Oleh Rudi Affendi Khalik

Kuching: Penemuan sekurang-kurangnya 206 telaga gas dan minyak baru di dalam negara diyakini mampu melonjakkan sektor huluan dan hiliran berasaskan sumber petroleum negara di sebalik kejatuhan harga minyak global ke paras AS$40 (RM171.32) setong tahun ini.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia LNG, Dzafri Sham Ahmad berkata, berita baik itu memberi harapan kepada PETRONAS untuk terus menyumbang kepada pemintaan pasaran gas dan minyak dunia bagi tempoh sekurang-kurangnya sedekad lagi.

“Di Sarawak, kita mempunyai 34 telaga gas dan 26 telaga minyak bagi menampung keperluan sektor huluan, dengan kapasiti pengeluaran 850 kilo tong sehari (kboe/d). Di negeri ini juga, kita mempunyai kompleks gas asli cecair (LNG) di Bintulu yang diiktiraf sebagai kedua terbesar di dunia.

“Bagi sektor hiliran pula, PETRONAS mengambil inisiatif menubuhkan ASEAN Bintulu Fertilizer (ABF) yang mampu menghasilkan 0.6 juta tan baja setahun, sekali gus menjadikannya kilang baja terbesar di Asia,” katanya pada Malam Media PETRONAS 2015, di sini malam kelmarin.

Dzafri Sham berkata, Sarawak terus mengekalkan kedudukannya sebagai pusat pelaburan terpenting konglomerat itu di Malaysia, dengan keseluruhan nilai pelaburan dicatatkan sehingga kini mencecah RM300 bilion, termasuk bagi melaksanakan projek pembangunan sektor huluan dan hiliran berasaskan sumber petroleum.

“PETRONAS memberikan tumpuan khusus terhadap usaha pembangunan industri minyak dan gas Sarawak, yang kebanyakannya bertumpu di wilayah utara negeri. Banyak infrastruktur kita bangunkan di negeri ini, termasuk Kompleks MNLG, Loji ABF, Projek Train 9 PETRONAS dan Kemudahan LNG Terapung PETRONAS.

“Ini jelas memperlihatkan komitmen berterusan kita dalam memajukan industri minyak dan gas di Sarawak, dengan kesan positifnya turut dinikmati bersama rakyat negeri melalui peningkatan pertumbuhan sosioekonomi setempat, termasuk mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam kalangan anak tempatan,” kataya.

Dzafri berkata, pihaknya yakin jumlah pelaburan itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa seiring dengan kerjasama erat yang terjalin antara kerajaan negeri dan PETRONAS.

“Ia termasuk pelaksanaan usaha melahirkan lebih ramai pemain industri petroleum di negeri ini dari kalangan anak tempatan, khususnya Bumiputera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 6:45 AM