Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah menuntut Petroliam Nasional Bhd (Petronas) supaya membayar sama seperti Sarawak berhubung rundingan penyelesaian isu Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk petroleum dan kuasa pengawalseliaan ke atas sumber minyak dan gas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, Petronas tidak mungkin memberikan jumlah yang kurang kepada Sabah berbanding apa yang dipersetujui antara syarikat minyak itu dengan kerajaan Sarawak.

"Kita jangka menerima tidak kurang daripada apa yang Sarawak dapat kerana kita tidak minta kurang. Kalau dapat lebih, itu lagi bagus," katanya pada sidang media selepas pelancaran Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Putatan di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Presiden Star berkata demikian ketika ditanya sama ada Sabah bakal mendapat sama seperti yang diperoleh Sarawak apabila rundingan dengan Petronas selesai.

Beliau berkata, rundingan berkaitan hal itu di antara kerajaan negeri dan Petronas dijangka diadakan selepas sambutan tahun baharu.

"Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor pun ada menyebut perkara ini ketika pembentangan Belanjawan Sabah 2021, jadi kita tunggu sajalah.

"Pertemuan dengan Petronas itu dijadual selepas tahun baharu ini," katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri (Dun) pada minggu lalu, Hajiji dilaporkan berkata, Petronas akan bertemu dengan kerajaan negeri untuk memulakan segera rundingan berhubung perkara itu.

Katanya, komitmen Petronas itu dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada beliau selepas kerajaan Sarawak dan Petronas menandatangani Perjanjian Penyelesaian Komersial pada 7 Disember lalu.

Selain menyelesaikan isu bayaran CJN produk petroleum dan kawal selia sumber minyak, perjanjian ditandatangani Sarawak dan Petronas itu turut membabitkan persetujuan kedua-dua pihak untuk Sarawak terbabit sama dalam operasi Petronas melalui anak syarikatnya.

Sarawak menamakan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas.

Mulai tahun depan, Sabah dijangka mengutip CJN produk petroleum bernilai RM1.25 bilion dan ia disenaraikan sebagai antara penyumbang tertinggi hasil Sabah dalam belanjawan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 3:53 PM