ABANG Johari (dua kiri) menunjukkan dokumen pembentangan Belanjawan Sarawak 2019 di Kompleks DUN Sarawak, Petra Jaya, Kuching, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari (dua kiri) menunjukkan dokumen pembentangan Belanjawan Sarawak 2019 di Kompleks DUN Sarawak, Petra Jaya, Kuching, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
Muhd Amirul Faiz Ahmad


KERAJAAN buat pertama kali akan mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum berkuat kuasa 1 Januari depan.

Difahamkan, pengenalan cukai itu dilaksanakan bagi meningkatkan dana kerajaan negeri selepas parti menguasai Sarawak berada dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Sarawak ketika ini menerima royalti minyak lima peratus daripada Kerajaan Persekutuan hasil penerokaan minyak oleh PETRONAS.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, keputusan berkenaan diambil selepas analisis menyeluruh dilakukan menerusi pengenalan cukai itu yang bakal menjana pulangan RM3.9 bilion.

“Berdasarkan Jadual 10 Perkara V(7) Perlembagaan Persekutuan, negeri dibenarkan mengenakan cukai jualan negeri. Justeru, bermula Januari ini, kita mengenakan cukai jualan ke atas minyak mentah, gas asli, cecair gas asli, baja berasaskan kimia dan produk gas kepada cecair.

“Pengenalan cukai jualan ke atas produk petroleum menjadi aliran pendapatan baharu kepada Sarawak sebagai alternatif membiayai dana bagi menyokong program pembangunan di negeri ini,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Sarawak 2019 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya, Kuching, hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Pembangunan Ekonomi Sarawak, berkata pengenalan cukai baharu itu signifikan bagi memacu pertumbuhan pembangunan agar setaraf dengan pembangunan di kawasan Semenanjung, selain mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Ia penting untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak termasuk mencapai visi Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Katanya, keanjalan fiskal membolehkan kerajaan negeri menguruskan sumber pendapatan secara cekap, sekali gus mempercepat pelaksanaan projek di kawasan luar bandar membabitkan jaringan bekalan air, elektrik, internet, pembinaan sekolah dan klinik.

“Kerajaan negeri mempunyai komitmen tinggi supaya rakyat Sarawak tidak lagi tertekan dengan kurangnya prasarana asas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 11:48 AM