GEMBIRA apabila ibu bapa berjanji akan hadir ke konsertnya.
GEMBIRA apabila ibu bapa berjanji akan hadir ke konsertnya.
Oleh Nor Akmar Samudin


Peluang mengadakan konsert di tempat berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur sememangkan mengujakan penyanyi Faizal Tahir, 37.

Bapa kepada enam anak ini bukan saja teruja untuk berdepan dengan peminatnya dalam persembahan eksklusif Faizal Tahir-One Night Only itu pada 30 November ini, tetapi kerana buat pertama kali ibu dan bapanya, Muzlipah Aishah Pa Wan Teh dan Mohd Tahir Abdul Rahman akan hadir menonton.

Faizal berkata, itulah pertama kali mereka akan menonton persembahan Faizal secara ‘live’ sejak sembilan tahun dia bergelar penyanyi.

“Saya terkejut dan gementar apabila mereka tiba-tiba meminta tiket. Ayah adalah ahli akademiK dan sejak dulu dia dan ibu kurang gemar dengan kerjaya saya sebagai penyanyi.

“Saya pula tidaklah bersungguh-sungguh untuk membuktikan jalan yang saya pilih ini betul. Saya hanya mengikut keadaan serta peluang.

“Bagaimanapun, saya tahu mereka tetap menyokong dalam senyap. Cuma saya tak sangka pula ibu tanya tiket untuk menyaksikan konsert saya di DFP dan saya rasa mungkin mereka berbangga dengan kerjaya saya kini,” katanya.

Faizal turut gembira apabila tiket berharga RM120 untuk menyaksikan persembahannya itu sudah habis dijual.

Menerima undangan itu sejak pertengahan tahun lalu, Faizal berjanji akan memberikan persembahan terbaik dan paling istimewa supaya ia menjadi sebutan peminat.

Persembahan bermula jam 8.30 malam itu akan menjadi mercu tanda kejayaan Faizal dalam arena seni suara dan akan mencipta sejarah tersendiri kepada penyanyi itu.

Faizal berkata, dia tidak membuat persiapan secara teratur kerana mahu ‘mood’ persembahannya lebih santai.

“Seperti biasa, saya akan menjadi diri saya sendiri dan tampil secara rock & roll. Saya juga tidak beria-ia membuat persiapan latihan, cuma akan pastikan kesihatan baik kerana saya mudah demam apatah lagi jika kurang tidur.

Pada konsert itu, Faizal akan mempersembahan lagu popular antaranya Karma, Hanyut, Mahakarya Cinta, Selamat Malam, Sampai Syurga, Gemuruh dan Bencinta.

Bukan sengaja tak sertai Muzik Muzik 30

Faizal turut memaklumkan dia tidak akan menyanyikan lagu Assalamualaikum pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 30 pada 6 Disember ini berikutan pertembungan jadual rakaman satu program televisyen yang sudah dipersetujuinya lebih awal pada tarikh sama.

Sehubungan itu, dia menolak desas-desus menyatakan sengaja enggan menyertai pertandingan terbabit disebabkan isu tertentu.

“Apa jua perkara yang disebarkan belum tentu sahih selagi bukan keluar daripada mulut saya sendiri terutama berhubung pembabitan dalam pertandingan lagu itu.

“Orang luar mungkin boleh membuat sebarang andaian, tetapi kalau bukan saya sendiri yang mengeluarkan kenyataan atau terbit daripada mulut saya, ia tidak benar,” katanya.

Menurutnya, dia mahu Assalamualaikum mara dalam pertandingan itu bersandarkan kekuatan melodi, seni kata, susunan muzik dan mesejnya, bukan disebabkan Faizal Tahir yang menyanyi.

Dalam saingan separuh akhir nanti, lagu ciptaan Omar K, Ezra Kong, Audi Mok dan Mike Chan itu akan dinyanyikan Tomok.

Pada September 2012 lalu, Faizal membuat pengumuman menerusi rancangan Muzik Muzik dia tidak akan menyertai pertandingan itu kerana mahu berehat.

Faizal pernah layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL) selama lima tahun berturut-turut mulai 2007 hingga 2011. Tahun lalu dia dilantik sebagai salah seorang juri AJL.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:08 AM