Francine Niyonsaba. FOTO Agensi
Francine Niyonsaba. FOTO Agensi
AFP

Montreuil, Perancis: Pemenang pingat perak 800 meter(m) Olimpik, Francine Niyonsaba yang digantung bertanding bagi acara itu oleh World Athletic, mencatatkan masa kelayakan Olimpik bagi 5,000m wanita dalam saingan di Perancis.

Atlet berusia 28 tahun dari Burundi, menerima nasib sama seperti juara 800m Olimpik, Caster Semenya, yang berusaha untuk layak bagi saingan Olimpik Tokyo yang tertangguh, pada musim panas ini.

Francine merekodkan 14 minit 54.70 saat(s) ketika menduduki tempat keempat di Montreuil, mengatasi catatan peribadi terbaiknya melebihi 17s dan mudah melepasi masa kelayakan Olimpik dengan 15:10.00s.

"Saya layak, saya sangat gembira, ia adalah impian saya," kata Francine.

"Saya mengharungi perlumbaan yang baik, saya sangat bangga. Ia agak sukar bagi saya untuk mengubah perancangan dari 800m ke 5,000m, terlalu banyak kesukaran.

"Ia mengambil masa, tapi saya terus berusaha, menyesuaikan diri dengan latihan, menggandakan kesungguhan sama seperti apa yang dititik beratkan dalam acara 800m."

Tambah Francine: "Ia adalah maklum balas yang hebat."

Atlet wanita seperti Francine dan atlet Afrika Selatan, Caster yang mempunyai perbezaan atlet perkembangan seksual dilarang daripada bertanding antara 400m dan sebatu.

Ia menyebabkan mereka mengintai peluang bersaing dalam acara lain bagi Olimpik Tokyo.

Caster sekali lagi gagal untuk layak bagi 5,000m di Durban Jumaat lalu dengan mencatatkan 15:32.15s.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menetapkan 29 Jun sebagai tarikh akhir kelayakan bagi atlet yang mahu bersaing di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 12:49 PM