Watak ditawar sesuai dengan imej baru Sheera.
Watak ditawar sesuai dengan imej baru Sheera.
Oleh Shakilawati Abd Rahman.

Pelakon Sheera Iskandar, 29, bersyukur keputusannya berhijab sejak Ramadan lalu sama sekali tidak mengganggu kelancaran kariernya.

Saban waktu ada saja tawaran menyusul, bahkan dia tidak perlu bimbang kerana watak ditawarkan sesuai dengan imej barunya itu.

Sheera tidak nafikan sebelum ini ada mendengar keluhan beberapa pelakon sukar mendapatkan pekerjaan selepas bertudung, tetapi perkara itu tidak berlaku kepada­nya.

Puteri kesayangan pelakon popular era 1980-an, Aznah Hamid ini berkata, mungkin sebelum berhijrah dulu dia sering diberi watak bertudung, tidak terasa sangat perbezaanya.

"Dulu kalau tiba-tiba dimaklumkan kena berhijab, kelam-kabut saya mencari tudung hingga terpaksa meminjam daripada mama. Kini, tak perlu mencari-cari lagi sebab saya sedia bertudung.

"Saya terharu dengan penerimaan baik syarikat produksi. Mereka menghormati keputusan saya dan berikan watak bertudung.

"Datuk Yusuf Haslam misalnya, dia suka saya bertudung dan sudi ubah karakter mengikut penampilan terkini saya," katanya ketika ditemui di majlis Anugerah Skrin 2014 yang berlangsung, baru-baru ini.

Kata Sheera, dia baru selesai menjalani penggambaran telefilem untuk TV Al-Hijrah, Sheikh Gugelya al Masehi di Cameron Highland, Pahang.

Sheera teruja berganding dengan ibunya serta pelakon veteran yang pernah ditemuinya ketika kecil. Dia memegang watak Sara, kakitangan hotel manakala ibu­nya turut bekerja di hotel sama sebagai tukang masak.

"Ia karya komedi Islamik mengisahkan ragam kakitangan dan pelanggan di hotel itu. Pengalaman menjayakan telefilem ini sangat menyeronokkan kerana saya dapat bertemu semula ramai pelakon lama yang pernah berlakon dengan mama.

"Ketika kecil saya selalu ikut mama ke lokasi. Di sana saya kenal ramai pelakon dan ada antaranya sudah lama tidak muncul di TV. Bagaimanapun, dalam drama ini tiba-tiba kami bertemu semula dan mereka teruja melihat anak kecil yang mama bawa sudah besar.

"Seronok melayan mereka berbual. Terasa hubungan sangat akrab bagaikan keluarga walaupun sudah lama tak berjumpa," katanya.

Sheera turut berkongsi pengalaman menarik menjayakan drama Penjaga Budiman yang kini rancak bersiaran di TV1 setiap Isnin hingga Khamis, jam 9 malam.

Mengetengahkan kisah fantasi, Sheera bermain dengan kreativiti apabila perlu berlakon seorang diri untuk babak bersama pari-pari.

Pengalaman itu sungguh berharga, malah mendedahkankan­nya kepada teknik lakonan yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

"Kalau sebut karya fantasi, tentu banyak kostum dan penggunaan Imej Janaan Komputer (CGI). Sebelum ini ada juga penggunaan CGI dalam produksi yang pernah saya jayakan tetapi tidak sebanyak Penjaga Budiman," katanya.

Kata Sheera, dia tidak kisah seandainya diberi watak yang menuntutnya tampil hodoh atau serabai. Sebagai pelakon, menjadi tang­gungjawabnya menzahirkan apa saja watak diberi.

"Kita tak boleh jadi cantik sepanjang masa. Kenalah realistik, dalam kehidupan sebenar pun kita bukan bersolek sepanjang masa.

"Dari dulu lagi saya suka cari kelainan dan biar apa yang orang nampak di skrin televisyen itu bukan Sheera Iskandar tetapi karakter yang dihidup­kan. Kalau orang melihat saya sebagai watak, baru lakonan itu menjadi.

"Sebelum ini banyak karakter yang mungkin orang lain tidak mahu bawa tetapi sudah saya jayakan. Bila hidupkan sesuatu watak itu, kena buat betul-betul.

"Kalau selepas ini diberi watak makhluk asing, saya suka sangat," katanya yang akan menjayakan musim baru Jalan Kembali tidak lama lagi.

Sheera juga aktif menyertai jualan bazar dan terbaru bakal berkampung di Pusat Daga­ngan Kelantan pada 28 hingga 29 ­November ini. Peluang ini akan dimanfaatkan Sheera sebaik mung­kin berniaga sambil mendekati peminatnya di negeri itu.

"Sebagai permulaan, kami menjual aksesori, alat solek, tudung dan pakaian. Kalau saya ada penggambaran, mama akan turun padang membantu. Mama memang suka dan dialah tulang belakang kami.

"Saya sedar saingan dalam bisnes pakaian sungguh sengit, tapi saya yakin pasti ada rezeki untuk saya. Melihat kejayaan beberapa teman artis mengusahakan bisnes, saya semakin bersemangat melaksanakan hasrat itu.

"Tak salah mencuba meskipun di pasaran ada banyak label pakaian Muslimah. Saya yakin kalau berusaha dan hasilkan kelainan, insya-Allah ada rezeki untuk kita.

"Saya mahu hasilkan koleksi moden dan selesa dipakai tetapi dalam masa sama biar rekaan itu menepati syariat," katanya.

Mengenai jodoh, Sheera tidak nafikan terselit perasaan cemburu setiap kali melihat rakannya berumah tangga, namun dia enggan tergesa-gesa kerana belum bertemu yang sesuai.

Berkawan ramai namun belum ada yang berkenan di hati. Bukan memilih tetapi baginya kalau mencari pasangan, biar orang itu boleh menerima keluarganya dan mampu membimbingnya.

"Saya bersyukur kerana mama sangat memahami dan tidak pernah mendesak anak berkahwin cepat. Ada juga dia bertanya bila lagi tetapi tidaklah mendesak.

"Dia tahu saya mahu cari pasangan yang serasi dan memahami. Saya tak boleh berjauhan dengan keluarga dan kerana itu perlukan pasangan yang boleh menerima keluarga saya. Ibaratnya kalau mahu berkahwin dengan saya, dia juga mesti berkahwin dengan keluarga saya.

"Dia juga mesti boleh membimbing saya dunia dan akhirat. Biar seimbang, itu yang saya cari," katanya yang kini mula menyertai kelas usrah bagi mendalami ilmu agama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:00 AM