SHEERA dan Doul pada hari pernikahan mereka.
SHEERA dan Doul pada hari pernikahan mereka.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Dengan sekali lafaz, pelakon yang juga anak dramatis, Aznah Hamid iaitu Sheera Iskandar, 30, sah bergelar isteri kepada Abdullah Harun, 31, pada 22 Ogos lalu bertempat di Ara Hills Hall, Ara Damansara.

Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar berwalikan bapa kandungnya,Tengku Iskandar Tengku Ahmad menerima mas kahwin RM1,000 beserta lima dulang hantaran berbalas lima manakala wang hantaran dirahsiakan.

Menurut Sheera, pengalaman beberapa kali terkandas dalam hubungan sebelum ini menjadikannya lebih berhati-hati dalam mencari pasangan hidup.

Malah, katanya, sejak awal perkenalan dengan suami yang mahu dikenali sebagai Doul ibunya memberi restu.

“Mama berkenan dengan keperibadian suami dan merestui hubungan kami. Meskipun ketika itu saya dan suami sekadar berkawan, mama tidak menghalang.

“Apabila suami menyatakan hasrat mahu berkahwin, mama terus bersetuju.

“Sebelum majlis berlangsung, mama berpesan hidup berkeluarga perlu saling bertolak ansur dan memahami. Dia percaya dan yakin suami boleh menjaga saya,” katanya.

Majlis akad nikah ini berlangsung secara sederhana dan dimeriahkan dengan kehadiran 200 tetamu terdiri daripada keluarga kedua-dua mempelai.

“Alhamdulillah meskipun persiapan kurang dari sebulan, majlis berjalan lancar. Saya berterima kasih kepada keluarga mentua kerana banyak membantu membuat persiapan.

“Dari awal hingga majlis selesai, mereka tulang belakang saya. Tanpa mereka, saya sendiri tak tahu mahu mula dari mana,” katanya.

Majlis resepsi pasangan ini dijangka diadakan awal tahun depan selepas berlangsungnya penikahan adiknya pada November ini.

“Selepas memikirkan kos perbelanjaan, ada baiknya buat satu majlis saja. Kami nikah gantung dan dahulukan mana yang wajib. Itu lebih baik.

“Selepas berbincang dengan mama, dia bersetuju, malah keluarga mentua pun tidak ada masalah. Lagi pun mereka bersungguh sungguh melaksanakan majlis nikah kami. Ikut perancangan awal, saya mahu bersederhana saja tetapi mereka buat lebih meriah,” katanya.

Tambah Sheera lagi, kesibukan tugas suaminya sebagai cef di syarikat katering Teaffani membuatkan persiapan pernikahan mereka sedikit kelam-kabut.

“Kalau nak tahu suami masih bekerja sehari sebelum nikah. Sehinggakan kasut untuk pakai pada majlis nikah kami pun baru beli malam itu. Kelam-kabut dibuatnya,” kata Sheera.

Dalam pada itu, Sheera turut menzahirkan rasa syukur apabila majlis pernikahan mereka mendapat tajaan beberapa pihak.

Mengimbau detik perkenalan pasangan ini, mereka berkawan empat tahun lalu.

“Kami sudah lama berkawan tetapi ketika itu belum terbuka hati untuk serius dalam perhubungan.

“Sepanjang perkenalan, dia sentiasa berdoa moga saya terbuka hati menerimanya. Apabila mama cakap dia sukakan personaliti Doul, saya pun OK,” katanya.

Selain bergelar cef, Doul bekas penyanyi rap, pernah menghasilkan single dan menyanyikan lagu tema filem lakonan Sheera iaitu Bohsia serta Aku Bukan Tomboi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 10:34 AM