Petikan daripada rakaman video.
Petikan daripada rakaman video.

Canberra: Apple memohon maaf kepada sekumpulan enam pelajar kulit hitam berikutan rakaman video yang dianggap perkauman dan kini menjadi viral memaparkan mereka diarah meninggalkan kedainya di Australia kerana bimbang pelajar terbabit akan mencuri sesuatu.

Video kejadian di pusat beli belah Highpoint di Melbourne itu mula muncul Selasa lalu, dengan kakitangan kedai berkenaan berkata pengawal kedai itu bimbang pelajar terbabit akan mencuri.

Menurut Apple, pengurus kedia itu sudah memohon maaf kepada pelajar terbabit serta pengetua sekolah mereka.

Dalam kenyataan hari ini, Apple berkata: “Kami percaya dengan hak persamaan setiap orang tanpa mengira bangsa, umur, jantina, etnik, agama atau kecenderungan seks.

“Ia diamalkan sepenuhnya syarikat kami di seluruh dunia tanpa pengecualian. Kami sudah meneliti kejadian itu dan memohon maaf kepada pelanggan terbabit. Kami akan melakukan apa yang boleh bagi memastikan pelanggan dilayan dengan sewajarnya.”

Pelajar yang merakam kejadian itu, Francis Ose, berkata melalui Facebook: "Memang perkauman - buatkan mereka mohon maaf.”

Pelajar lain yang terbabit, Mohamed Semra, juga melalui Facebook berkata, mereka puas hati dengan penjelasan Apple.

“Apple mohon maaf, jadi kami bertenang. Tidak perlu dilanjutkan lagi,” tulisnya.

Rakaman video itu sudah dilihat lebih 62,000 kali di Facebook. - BBC

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 6:03 PM