ARIFFIN berbangga dengan produk minyak wangi gaharu formulasinya.
ARIFFIN berbangga dengan produk minyak wangi gaharu formulasinya.
ANTARA minyak wangi keluaran Mrsol dan teh gaharu madu.
ANTARA minyak wangi keluaran Mrsol dan teh gaharu madu.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Pernah kerugian puluhan ribu ringgit dan ditipu tapi jiwanya kental, dugaan dalam perniagaan menjadikannya lebih bersemangat untuk meneruskan cita-citanya menjadi usahawan berjaya.

Keringat dan air mata sudah puas dicurahkan tapi nyata berbaloi untuk Ariffin Embong, 42, selepas usahanya dalam projek penanaman pokok gaharu membuahkan hasil lumayan.

Kini bapa kepada lima cahaya mata itu mampu tersenyum bangga selepas satu demi satu produk hasil daripada berbudi kepada tanah mendapat sambutan memberangsangkan sekali gus membolehkannya memperoleh pendapatan hampir lima angka setiap bulan.

Langkahnya memulakan tanaman gaharu sejak lima tahun lalu ternyata tepat pada masa kerana ketika itu tidak ramai pengusaha yang berani mengambil risiko dalam projek berkenaan walaupun diketahui hasil tanaman itu mampu memberi pulangan lumayan.

“Punca utama pokok gaharu amat bernilai tinggi kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan produk kesukaan ramai iaitu minyak wangi.

“Selain itu, ia juga boleh menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman berzaman. Pada masa sama, daun pokok gaharu boleh dijadikan produk teh hijau yang kini menjadi kegemaran ramai kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain khasiatnya untuk kesihatan,” katanya.

Ariffin berkata, sebelum mula menghasilkan produk minyak wangi gaharu, dia terlebih dulu menuai hasil daun pokok gaharu sebagai teh selepas setahun menanam pokok itu.

Hasilnya, produk teh gaharu madu yang diusahakan Ariffin pada 2011 bukan saja mendapat permintaan tinggi di seluruh negara malah menembusi pasaran Singapura, Brunei dan Dubai.

Usahanya nyata berbaloi apabila produk teh gaharu madu itu juga memenangi Anugerah Inovasi Asia Pasifik pada 2012. Ariffin tidak menoleh ke belakang, selepas lima tahun mengusahakan tanaman itu dia melangkah setapak dengan menghasilkan minyak wangi di bawah label syarikatnya, Secret of Love Fragrance (Mrsol) sejak tahun lalu.

Sehingga kini Ariffin sudah menanam sebanyak 12,235 pokok gaharu di tanah berkeluasan kira-kira 12 ekar di Batu 3, Damar Laut, Perak.

Menyingkap pengalamannya dalam perniagaan itu, Ariffin mengakui perjalanannya tidak mudah kerana kekangan modal malah dia menggunakan sepenuhnya wang simpanan tanpa bantuan kewangan lain.

“Selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Pegawai Oceonografi Tentera Laut Diraja Malaysia, saya memulakan tanaman cili, serai, labu dan beberapa sayuran lain secara komersial dan hasil tanaman itu digunakan sebagai modal untuk menampung kos memulakan projek tanaman gaharu.

“Pada peringkat permulaan, memang terasa kesukarannya kerana duit saya habis digunakan untuk projek ini, namun kerana minat mendalam dalam bidang pertanian, saya teruskan juga. Saya ikuti kelas penanaman gaharu dan mendapatkan anak pokok untuk ditanam di ladang yang dipajak.

“Awal tahun ini saya fokus pada penghasilan minyak wangi selepas setahun melakukan penyelidikan sendiri, cuba jaya dan meminta ramai pihak bermula isteri saya dan pekerja untuk mencuba malah saya juga memberi sampel percuma pada orang ramai.

“Langkah itu membuahkan hasil dan mendapat permintaan tinggi di seluruh negara. Kini saya sudah mempunyai lebih 30 ejen yang memasarkan produk wangian Mrsol secara dalam talian,” katanya.

Ariffin berkata, dia menggunakan sepenuhnya laman sosial untuk pemasaran hingga berkembang antara pengeluar minyak wangi gaharu asli di negara ini.

Katanya, proses mengekstrak pati gaharu agak rumit bagi menghasilkan pati yang berkualiti tinggi. Minyak wangi gaharu dihasilkan untuk patinya saja atau campuran wangian, dan harga pati asli mampu mencecah lebih RM10,000.

Menurutnya, campuran minyak wangi gaharu diproses sendiri dan ia boleh dibawa sembahyang manakala ketahanan haruman sehingga lapan jam sehari. Harga wangian gaharu bermula RM29.90 sehingga RM390.

Bagaimanapun, pati asli gaharu agak berbeza kerana kualitinya yang tinggi dan dirumus oleh Ariffin sendiri atas permintaan khas daripada pelanggan. Proses pembuatannya mengambil masa lima hari dan memerlukan suhu yang dikawal rapi bagi memastikan molekul minyak dapat menghasilkan haruman yang terbaik menjadikan harganya agak mahal.

“Pati asli gaharu adalah produk yang sangat terhad dan boleh dikatakan hampir tiada persaingan. Harganya dalam lingkungan RM300 hingga RM15,000. Mengapa hingga RM15,000? Ia kerana kualiti, keaslian, ketahanan dan keistimewaannya seperti haruman kekal sehingga tiga hari dengan hanya satu calitan,” katanya.

Ariffin turut merancang untuk menghasilkan produk kosmetik berasaskan gaharu tahun depan. Produk wangian dan pati gaharu boleh didapati menerusi Facebook ariffine atau mrsolfragrance, dan melalui laman web www.mrsol.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 11:47 AM